PETALING JAYA – Ibu bapa Allahyarham Akhmal Asyraf, 32, atau lebih dikenali sebagai Kapten AA yang meninggal dunia di Oman berlepas ke Muscat pagi ini bagi menghadiri majlis pengebumian pengacara dan personaliti media sosial tersebut.
Maklumat tersebut dikongsikan oleh pengasas RARETV, Saiful Nang menerusi hantaran di Threads.
Saiful Nang memaklumkan, ibu bapa Akhmal bersama wakil Rumah Pengasih Warga Perihatin (RPWP), Dr. Masjuki Mohd. Musuri akan menaiki penerbangan Oman Air pagi ini.
Terdahulu, Allahyarham Akhmal dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan paru-paru ketika menjalani penggambaran program Kembara Wahyu 2027 di Oman.
Allahyarham pada mulanya menerima rawatan di Hospital Nizwa sebelum dipindahkan ke Hospital Badr Al Samaa Royal di Muscat untuk rawatan lanjut.
Akhmal menghembuskan nafas terakhir pada 6.58 petang waktu Oman (10.58 malam waktu Malaysia) semalam.














