SEPANG – Malaysia terbuka menerima permohonan negara-negara yang menyertai Sukan SEA 2027 bagi sebarang pertambahan acara untuk dipertandingkan pada penganjuran edisi ke-34 sukan dwitahunan itu tahun hadapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau bagaimanapun berkata sebarang keputusan akhir berkaitan perkara itu, akan diputuskan oleh Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).
“Kita sokong (permohonan) penambahan itu, kita tidak harus menghalang dan ada beberapa jenis sukan yang mahu ditonjolkan di Thailand atau Filipina atau Indonesia, Singapura, Malaysia, kita beri galakan.
“Bagaimanapun, semua permohonan itu kita perlu teliti dan ikuti proses mengikut SEAGF, namun secara asasnya (kita) sokong (permohonan) penambahan itu, kita tidak harus menghalang,” kata beliau.
Anwar berkata demikian dalam ucapan ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. – BERNAMA














