PETALING JAYA – Bunyi dentuman kuat yang didakwa sehingga menyebabkan rumah bergegar mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penduduk di sekitar Nilai, Negeri Sembilan, malam ini.
Kejadian itu turut menjadi perbualan hangat di media sosial apabila beberapa penduduk berkongsi pengalaman mendengar bunyi seakan-akan letupan yang mengejutkan mereka.
Menerusi hantaran di Threads, seorang pengguna dikenali sebagai nasuha.mizam mempersoalkan punca bunyi kuat berkenaan sehingga menyebabkan kediamannya bergegar.
“Bunyi apa yang kuat sampai bergegar rumah di Nilai tadi? Memang terlintas ada benda besar jatuh dari atas langit tadi,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna yang turut mendengar bunyi berkenaan berkongsi pengalaman hampir sama, malah ada yang menyifatkannya seperti bunyi dentuman meriam.
“Guruh yang sangat kuat, macam meletup. Bunyi lama berpanjangan pula itu, terkejut dengar sampai terasa gegaran,” kata @annafirdhizha.
“Bunyi macam bom mula-mula itu, bergegar rumah. Lain macam guruh, tetapi tidak hujan pun di kawasan rumah ini,” ujar @shafizahminan.
“Kuatnya macam bunyi meriam hari merdeka, kuat dua kali pula itu di kawasan Nilai Springs,” komen @liina_nour.
“Ya, saya sampai sekarang tertanya-tanya bunyi apa yang tersangat kuat. Saya ingat ada benda jatuh, memang terperanjat sampai sekarang,” kata @mozak.81. – KOSMO! ONLINE














