GEORGE TOWN – Tidak pernah berpisah sejak kecil, tiga kembar lelaki berazam meneruskan cita-cita bergelar pendidik selepas berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
Mohamed Azwan, Mohamed Azmin dan Mohamed Azrul, masing-masing berusia 26 tahun bukan sahaja berkongsi minat dalam bidang akademik, malah berjaya menamatkan pengajian dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) melebihi 3.50.
Mohamed Azwan memperoleh PNGK 3.61, diikuti Mohamed Azrul (3.51) dan Mohamed Azmin (3.50) sekali gus membuktikan hubungan rapat sebagai adik-beradik menjadi kekuatan mereka dalam mencapai kejayaan akademik.
Anak kepada pasangan Dawlath Mohamed Ahmad, 61, dan Nasirabanu S Inayadulla, 57, itu berkata, kejayaan menamatkan pengajian bersama menjadi kenangan bermakna selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh pengajian.
Mohamed Azmin berkata, mereka bertiga banyak bergantung antara satu sama lain khususnya menerusi kumpulan belajar yang dibentuk sejak di universiti.
”Sekiranya ada antara kami yang tidak memahami sesuatu topik, seorang lagi akan membantu menerangkannya. Kami juga saling bertukar idea dan mengajak rakan-rakan lain menyertai kumpulan belajar bagi membolehkan kami berkongsi ilmu,” katanya ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen USM ke-64 hari ini.
Mengulas perancangan masa depan, Mohamed Azmin berkata, mereka berkongsi cita-cita untuk menjadi pendidik walaupun mempunyai kecenderungan terhadap mata pelajaran berbeza.
”Adik saya, Mohamed Azwan bercita-cita menjadi guru Bahasa Inggeris, manakala saya mahu mengajar Matematik dan Mohamed Azrul pula terbuka untuk mengajar subjek bersesuaian.
Mengimbas pengalaman sepanjang berada di USM, Mohamed Azmin berkata, persamaan wajah antara mereka adakalanya menyebabkan pensyarah dan rakan-rakan keliru.
Katanya, keadaan itu sering mencetuskan situasi lucu apabila ada antara mereka yang menyahut panggilan walaupun nama yang disebut sebenarnya merujuk kepada saudara kembarnya.- KOSMO! ONLINE














