KUALA TERENGGANU – Kehidupan sebuah keluarga di Kampung Kubang Ikan, Chendering di sini bertukar sekelip mata apabila ketua keluarga yang menjadi tulang belakang mereka disahkan menghidap masalah saluran darah jantung tersumbat sejak empat bulan lalu.
Susulan keadaan itu, Siti Khatijah Talib, 39, kini merayu bantuan orang ramai bagi mengumpul dana sebanyak RM60,000 bagi membiayai kos rawatan suaminya, Mohd. Padli Jaiz, 42.
Menurut Siti Khatijah, suaminya yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan terpaksa menghentikan perniagaan menjual buah-buahan di tepi jalan selepas empat kali pengsan ketika berada di gerai.
Katanya, Mohd. Padli sudah lebih lapan kali dimasukkan ke hospital dan kini memerlukan pemasangan dua unit stent jantung dengan anggaran kos RM30,000 bagi setiap satu.
“Adakala suami terpaksa dikejarkan semula ke hospital dalam tempoh tidak sampai sehari selepas keluar wad kerana mengalami sakit dada dan sesak nafas.
“Sekarang suami memang sudah tidak mampu bekerja untuk menanggung keluarga dan kami hilang punca pendapatan tetap,” katanya ketika ditemui di sini.
Siti Khatijah berkata, dia kini menggalas tanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga suaminya yang sering uzur selain menguruskan anak lelaki mereka yang berusia empat tahun.
Ujarnya, ketiadaan kenderaan sendiri turut menyukarkan pergerakan mereka setiap kali suaminya perlu mendapatkan rawatan susulan atau kecemasan di hospital, memaksanya bergantung kepada bantuan ahli keluarga serta rakan-rakan.
Lebih meruntun hati, mereka sekeluarga kini menumpang di rumah ibu mentuanya yang merupakan seorang ibu tunggal berusia 72 tahun dan turut menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi serta masalah saraf.
Jelasnya, bantuan bulanan sebanyak RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan perubatan serta keperluan asas harian.
“Kos ubat-ubatan suami sahaja sudah mencecah RM1,000 sebulan, belum lagi termasuk kos pengangkutan ke hospital serta keperluan susu dan lampin pakai buang anak yang dianggarkan sekitar RM400 sebulan,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam bernombor 13017028905499 atas nama Mohd. Padli Jaiz atau menghubungi Siti Khatijah di talian 018-8727710.














