KAK ZA berjalan di sekitar Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan sambil melaungkan perkhidmatan mengangkat barang yang ditawarkannya. - Foto AMIR KHALID

Demi keluarga, Kak Za Pasar tak kenal erti malu angkat barang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tidak ada istilah malu bagi wanita ini ketika melontarkan suaranya kepada mereka yang lalu-lalang di depan mata, demi mencari rezeki menanggung keluarga.

“Assalamualaikum kak. Za ada buat servis angkat barang dengan personal shopper. Ada apa-apa yang boleh Za tolong?”

“Bang, okey ke? Nak saya tolong angkat ke? Saya ada buat servis angkat barang, Pikul Pro.”

Tidak putus-putus Mahaniza Mohamad, 44, menawarkan perkhidmatannya mengangkat barang kepada pengunjung di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, Selangor. Ada yang sekadar tersenyum dan menggelengkan

kepala menolak tawaran, dan ada juga yang memberikan pandangan pelik kepadanya sebelum berlalu.

“Bila kita tanya orang, begitulah. Ada yang geleng kepala, ada yang berlalu begitu sahaja tanpa menoleh sedikit pun. Beginilah setiap hari. Tidak mengapa, mungkin belum ada rezeki saya,” ujarnya ketika ditemui di pasar itu baru-baru ini.

Pada hari berkenaan, walaupun telah berada di pasar selama lima jam sejak 7 pagi, Mahaniza langsung tidak mendapat pelanggan.

“Tak ada rezeki hari ini. Nak masak apa ya di rumah? Semalam dah berlauk telur,” bisik ibu kepada dua anak remaja yang masih bersekolah ini, masing-masing perempuan berusia 16 dan lelaki, 12 tahun.

Bercerita rutin hariannya kepada Bernama, Mahaniza berkata, dia akan ke pasar yang terletak cuma beberapa minit menaiki motosikal dari rumah selepas menguruskan suaminya Muhammad Farhan Sedik, 43, serta kelengkapan anak untuk ke sekolah.

“Suami tidak dapat bergerak selepas mengalami strok yang menjejaskan sarafnya dan kencing manis kronik sejak tiga tahun lalu. Sebelum dia terlantar, suami bekerja sebagai pengurus jualan dan pemasaran di sebuah restoran. Saya juga bekerja di situ sebagai pegawai jualan dan pemasaran,” ujarnya.

Menurut wanita bertubuh sederhana ini, dia selalunya tiba di pasar itu seawal pukul 7 pagi dan menawarkan khidmat mengangkat barang yang dibeli pelanggan ke kenderaan mereka.

“Selain itu, saya juga jadi personal shopper untuk mereka yang tidak sempat ke pasar,” tambahnya yang memulakan perniagaan tersebut pada 2023.

Menurut Mahaniza, idea menawarkan perkhidmatan itu yang dijenamakan sebagai Pikul Pro, datang daripada suaminya.

“Semasa saya masih bekerja dahulu, saya akan pulang sebentar ke rumah untuk menguruskan suami seperti memandikan, menyediakan makanan dan membantunya membuang air besar kerana suami tidak boleh bergerak sendiri dan perlu diangkat.

“Masa itu majikan sangat memahami keadaan saya dan memberikan kelonggaran untuk pulang ke rumah. Cuma, yang tidak seronoknya ada pekerja lain yang mempertikaikan. Lepas itu, suami kata tidak mengapalah dan minta saya berhenti kerja di restoran,” katanya.

Menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga emas dan orang kurang upaya, Mahaniza bagaimanapun tidak menetapkan kadar upah tetapi menyerahkan kepada keikhlasan pelanggan.

“Ada yang beri RM2, RM5 dan RM10. Kalau personal shopper pula, mereka berikan saya senarai barang yang hendak dibeli.

“Selepas mereka bersetuju, mereka bayar terus gunakan kod QR peniaga yang saya hantar kepada mereka. Saya tidak akan pegang duit pelanggan. Pendekatan ini lebih mudah. Pelanggan pun tidak ragu-ragu,” katanya.

Mahaniza berkata, dia tidak menetapkan kadar upah kecuali kos penghantaran, iaitu antara RM15 hingga RM30 bergantung pada jarak perjalanan dari pasar borong ke rumah pelanggan.

Menurut wanita ini, dia lazimnya berada di pasar borong itu setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 11 pagi pada hari biasa dan hingga 12 tengah hari pada hujung minggu.

Dalam mencari rezeki sebagai pengangkat barang, Mahaniza tidak terlepas daripada berdepan pelbagai tanggapan dan persepsi masyarakat terhadap pekerjaan yang biasanya dilakukan oleh lelaki itu. Apatah lagi tubuhnya juga tidak sebesar mana.

“Dulu, ada yang bertanya apa saja yang saya buat apabila melihat saya melaungkan tawaran khidmat mengangkat barang di pasar? Mereka pelik kerana saya wanita.

“Padahal saya pernah mengangkat ayam sebanyak 50 ekor untuk dihantar ke rumah pelanggan,” kongsinya.

Dia mengangkat barang menggunakan kudrat semata-mata; tidak ada troli, cuma beberapa buah beg untuk mengisi barangan pelanggan yang akan dijinjing atau digalas ke kenderaan.

Bagaimanapun, kata wanita itu, penerimaan masyarakat mula berubah selepas rakaman video pertemuannya dengan pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi dan penyanyi Haiza tular.

Mengakui bukan mudah mendapatkan pelanggan setiap hari, Mahaniza berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi apabila bekerja. Malah, bukan sekali dua dia langsung tidak mendapat pelanggan sepanjang minggu.

“Seperti yang orang lihat, saya akan memanggil pelanggan dan menawarkan bantuan. Kalau tiada yang menyahut, tidak mengapa. Saya fikir mungkin belum ada rezeki hari ini. Mungkin esok atau lusa (akan) ada,” katanya yang memperoleh pendapatan sekitar RM800 hingga RM900 sebulan.

Menurut Mahaniza, antara pelanggan yang kerap dapatkan khidmatnya ialah golongan lelaki yang kurang mahir membeli barangan dapur, khususnya saat isteri mereka berpantang selepas bersalin.

Pada masa sama, dia menzahirkan kesyukuran kerana menerima bantuan zakat sebanyak RM400 sebulan selain bantuan sewa rumah, sekali gus meringankan bebannya. Suami juga menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan.

“Ramai yang bertanya sudah dapat bantuan mengapa tidak cukup lagi? Kita tidak boleh bergantung pada bantuan sahaja. Saya tetap kena cari duit sendiri,” ujarnya.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN