“Saya masih sayangkan rumah tangga dan pernah berikan peluang kedua kerana mahu mempertahankan keluarga, tetapi isteri seolah-olah tidak serik apabila kembali menjalinkan hubungan dengan lelaki lain pula.
“Lebih mengecewakan, kedua-dua lelaki yang dikaitkan dengannya bergelar pendidik, sama seperti bekas isteri saya sendiri. Bayangkan, selepas hubungan pertama terbongkar, muncul pula lelaki kedua sehingga saya merasakan segala pengorbanan untuk mempertahankan rumah tangga selama ini tidak dihargai,” luahnya yang mahu dikenali sebagai Hafiz (bukan nama sebenar).
Menurut Hafiz, episod pertama mula terbongkar sekitar tahun 2024 apabila dia menemui perbualan mencurigakan antara isterinya yang juga merupakan seorang pendidik dengan rakan sekerja wanita itu.
Hubungan tersebut dipercayai bermula beberapa bulan sebelumnya dan melibatkan perbualan intim serta unsur seksual melalui aplikasi komunikasi sembang.
Katanya, selepas perkara itu terbongkar, isterinya mengakui hubungan berkenaan, manakala lelaki terbabit turut menyatakan penyesalan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
“Ketika itu saya memang kecewa dan terfikir untuk berpisah tetapi isteri bersungguh-sungguh meminta supaya rumah tangga dipertahankan.
“Saya juga mengambil kira lelaki berkenaan sudah mempunyai isteri dan anak. Jadi, saya memilih memberikan peluang kedua kerana percaya mereka boleh berubah,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Hafiz, peluang yang diberikan itu seolah-olah tidak dihargai apabila dia mendapati hubungan kedua-dua mereka masih berterusan sepanjang 2025.
Malah, mereka masih berhubung secara rahsia melalui aplikasi komunikasi digital dengan menggunakan panggilan mesra serta ungkapan yang menggambarkan hubungan lebih daripada sekadar rakan sekerja.
Walaupun berdepan situasi berkenaan, Hafiz berkata dia masih cuba mempertahankan rumah tangga dan mengutamakan kebajikan anak mereka yang masih kecil.
Namun, kepercayaan yang semakin terhakis akhirnya membawa kepada perceraian talak satu pada tahun ini.
Hafiz menyangka perceraian itu mungkin memberikan ruang kepada bekas isterinya untuk menilai semula kehidupan, malah dia sendiri masih menyimpan harapan untuk kembali rujuk atau membina rumah tangga demi anak mereka.
Namun, harapan itu semakin pudar apabila dia menemui bukti komunikasi antara bekas isterinya dengan seorang lelaki lain yang juga merupakan seorang pendidik.
Menurutnya, lelaki kedua itu merupakan individu berbeza daripada lelaki yang dikaitkan dengan episod pertama.
Hafiz memberitahu, hubungan dengan lelaki kedua itu dipercayai berlaku sebelum mereka bercerai dan berterusan dalam tempoh iddah. Lebih mengejutkan, perbualan di telefon pintar yang ditemuinya juga mengandungi unsur seksual serta hubungan intim.
“Saya fikir selepas apa yang berlaku sebelum ini dia akan ambil pengajaran. Lelaki kedua itu juga mengajak isteri saya untuk bercuti ke luar negara bersama anak kecil kami dan mereka juga merancang mendirikan rumah tangga,” ujarnya.
Menurutnya, penemuan komunikasi yang didakwa mengandungi pengakuan hubungan intim menyebabkan dia mengambil keputusan untuk membawa perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.
“Saya tidak mahu membuat tuduhan tanpa asas atau menghukum sesiapa sendiri. Sebab itu saya membuat laporan polis dan laporan kepada pihak berkuasa agama supaya perkara ini disiasat.
“Laporan berkenaan dibuat bagi membolehkan dakwaan berkaitan hubungan intim serta kemungkinan pelanggaran hukum syarak diteliti oleh pihak yang mempunyai bidang kuasa.
“Bagaimanapun, segala dakwaan terhadap kedua-dua lelaki berkenaan masih tertakluk kepada siasatan dan pengesahan pihak berkuasa,” katanya.
Mengakhiri perbualan, Hafiz berkata, keutamaannya kini adalah memastikan anak mereka membesar dalam persekitaran yang selamat dan mendapat kasih sayang secukupnya daripada kedua-dua ibu bapa.
Baginya, walaupun hubungan suami isteri sudah berakhir, tanggungjawab sebagai ibu bapa tidak seharusnya terhenti.
“Saya boleh menerima hakikat bahawa kami sudah bercerai, tetapi saya tidak mahu anak menjadi mangsa kepada apa yang berlaku.
“Saya masih mahu dia membesar dengan baik dan mendapat kasih sayang daripada ibu serta bapanya. Apa yang berlaku antara kami tidak sepatutnya menjejaskan masa depannya,” katanya.














