Januari tahun lepas, saya ada bernazar tidak akan memotong rambut selagi isteri saya tidak mengandung. Apabila isteri saya mengandung, saya akan membotakkan kepala saya. Sampai sekarang masih belum ada rezeki. Rambut saya sangat panjang dan menyulitkan bagi saya dalam kehidupan seharian saya. Bolehkah saya membatalkan nazar ini? Apakah saya perlu memberi makan, pakaian, membayar atau berpuasa? Mohon pencerahan.
JAWAPAN: Nazar harus diamalkan sekiranya sesuatu perkara yang diniatkan itu berkaitan dengan amalan ketaatan seperti berpuasa, solat sunat dan seumpamanya.
Nazar yang dilakukan pada perkara yang harus adalah tidak sah. Oleh itu, dalam hal ini, jika penyoal bertindak memotong rambutnya, dia tidak perlu untuk melakukan kaffarah terhadap perbuatan tersebut.
Nazar yang dilakukan adalah berkaitan dengan amalan-amalan sunat seperti berpuasa, solat sunat, iktikaf dan seumpamanya. Apabila seseorang bernazar, sesuatu amalan ketaatan apabila dia memperoleh apa yang diinginkannya, maka dia wajib untuk menunaikannya.
Hal ini berdasarkan hadis, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan sesiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat, maka janganlah dia melakukan maksiat itu.” (Riwayat al-Bukhari)
Sesuatu nazar tidak dikira sah jika dinazarkan untuk melakukan perbuatan yang harus dan wajib.
Hal ini seperti yang disebutkan oleh Imam al-Ramli bahawa: ‘Perkara yang terkeluar daripada qurbah (ibadah) ialah maksiat. Tidak sah bernazar untuk melakukan maksiat. Begitu juga tidak sah bernazarkan perbuatan yang harus seperti makan dan tidur.’
Oleh yang demikian, nazar untuk tidak memotong rambut sehingga isteri mengandung adalah tidak sah, maka tidak dikenakan apa-apa kaffarah jika yang bertanya bertindak memotong rambutnya.
Selain itu, dinasihatkan untuk memerhatikan kesan dan akibat sesuatu perbuatan, sebelum melakukannya agar tidak membawa kesusahan pada hari yang akan datang.














