Ateh Alang menunjukkan gambar kad pengenalan adiknya Amek yang maut ketika memancing di Sungai Dakoh, Kampung Peng, Pos Balar, Gua Musang. Foto AIMUNI TUAN LAH

Sempat dapat tiga ikan tengas sebelum maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Seorang wanita Orang Asli sempat memperoleh tiga ekor ikan tengas ketika memancing sebelum maut tergelincir di Sungai Dakoh, Kampung Peng, Pos Balar di sini, semalam.

Mangsa, Amek Alang, 29, dipercayai tergelincir ketika cuba naik ke tebing sungai yang licin sebelum terhentak pada batu sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala.

Kakak mangsa, Ateh Alang, 37, berkata, sebelum kejadian berlaku adiknya pergi memancing kira-kira pukul 11 pagi bersama seorang anak lelakinya yang berusia 12 tahun.

Katanya, anak saudaranya itu kemudian berlari pulang ke rumah yang terletak kira-kira dua kilometer dari sungai untuk memaklumkan kejadian kepada keluarga.

“Dia memang kerap pergi memancing ikan untuk hidangan ahli keluarganya dan aktiviti itu sudah menjadi hobinya. Pada hari kejadian dia sempat mendapat tiga ekor ikan tengas sebelum dipercayai tergelincir dan terhentak pada batu.

“Ketika kejadian arus sungai memang deras dan keadaan itu turut menyukarkan orang kampung membawa mayat mangsa ke kawasan tebing sungai,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang di sini hari ini.

Ateh berkata, adiknya memang gemar memancing dan kebiasaannya keluar pada waktu pagi sebelum pulang pada petang.

“Arwah yang mempunyai enam orang anak memang suka memancing dan hampir setiap hari pergi memancing. Dia sudah biasa dengan sungai itu dan pandai berenang sebab itu kami tidak sangka kejadian ini berlaku.

“Jenazah arwah akan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Peng selepas proses bedah siasat,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN