PETALING JAYA – Seorang guru tidak dapat menahan rasa sebak apabila salah seorang pelajarnya, Alisyia, menerima berita pemergian ibu tercinta sebaik sahaja selesai menduduki kertas Pendidikan Islam (PAI) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semalam.
Menerusi perkongsian di Threads, guru berkenaan turut menyifatkan Alisyia sebagai seorang pelajar yang baik, lemah lembut, menghormati guru serta disenangi ramai.
Menurutnya, dia sendiri tidak dapat membayangkan perasaan yang terpaksa ditanggung pelajar itu apabila menerima khabar duka berkenaan pada saat sedang berjuang menghadapi peperiksaan penting dalam hidupnya.
Dia turut menitipkan doa agar Alisyia diberikan kekuatan untuk meneruskan peperiksaan SPM dan memperoleh kejayaan meskipun terpaksa melalui ujian berat dalam hidupnya.
Perkongsian itu mengundang sebak pengguna yang turut menitipkan kata-kata semangat serta doa buat Alisyia agar tabah menghadapi kehilangan insan tersayang.
“Ya Allah, besarnya dugaan adik ini. Semoga terus diberikan kekuatan untuk menjawab kertas SPM yang lain. Kami semua doakan adik terus berjaya dunia dan akhirat. Kuat-kuat dik, adik boleh. Sampaikan peluk sayang kami pada adik ini, cikgu,” tulis @cik_tyra90.
“Allah tidak pernah salah memilih. Dia anak yang hebat, pastinya bahu dia cukup kuat menggalas kesedihan itu. Awak hebat dik. Habiskan peperiksaan hingga ke garisan akhir,” komen @izzlaramungawan pula.
Sementara itu, pengguna @anamariana_1110 berharap agar Alisyia diberikan ketenangan hati dan dipermudahkan segala urusan sepanjang menduduki peperiksaan berkenaan.
“Semoga anak ini diberi kekuatan dan ketenangan hati, dipermudahkan urusan. Semoga menjadi anak yang berjaya di dunia dan akhirat. Salam takziah, al-Fatihah buat arwah ibunya,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














