PETALING JAYA – Pelakon Julia Farhana Marin mengesahkan rumah tangganya bersama bekas suami, Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum, berakhir pada 24 November lalu.
Julia, 32, berkata, keputusan untuk membawa haluan masing-masing merupakan jalan terbaik buat mereka selepas berusaha mempertahankan perkahwinan yang dibina bersama.
“Terima kasih seikhlas hati atas setiap tahun yang diluangkan untuk menjadi suami terbaik buat saya. Saya harap awak tahu bahawa saya juga sudah mencuba sedaya upaya untuk menjadi isteri terbaik buat awak.
“Kita mungkin tidak melakukan semuanya dengan betul dan ada ketika kita saling menyakiti tanpa sengaja.
“Namun, di sebalik segala yang berlaku, saya harap awak tidak pernah meragui keikhlasan saya yang mahu hubungan ini berjaya,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram hari ini.
Julia turut mengakui reda dengan ketentuan takdir meskipun sukar menerima hakikat perpisahan tersebut.
Malah, dia tidak menyimpan sebarang rasa marah atau dendam terhadap bekas suaminya atas segala yang berlaku.
“Malangnya, qada dan qadar menentukan takdir kita. Mungkin begini jalan cerita yang sudah tertulis. Walaupun sukar untuk diterima, kita akhirnya tiba di titik apabila perceraian menjadi satu-satunya jalan ke hadapan buat kita berdua.
“Saya harap awak memaafkan saya sebagaimana saya sudah berdamai dengan segala yang berlaku dan memaafkan awak. Saya tidak mahu menyimpan sebarang dendam untuk melangkah ke fasa seterusnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Julia turut menzahirkan rasa syukur atas setiap kenangan dan pengajaran yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan mereka.
“Saya akan sentiasa bersyukur atas tahun-tahun yang kita lalui bersama, pengalaman yang membentuk diri, pengajaran yang diperoleh serta versi diri kita ketika melalui fasa kehidupan itu.
“Saya harap kehidupan sentiasa berpihak kepada awak dengan limpahan kebahagiaan, ketenangan, kesihatan yang baik dan cinta yang membuatkan awak berasa difahami serta dihargai.
“Saya harap awak mencapai segala yang diimpikan dan mendoakan perkara sama buat diri saya.
“Saya harap kita berdua menemui ketenangan yang mungkin tidak dapat ditemukan ketika bersama,” jelasnya.
Mengakhiri perkongsian tersebut, Julia menyifatkan usaha mereka membina rumah tangga bersama tetap wajar dihargai meskipun jodoh tidak berpanjangan.
“Tiada keperluan untuk kita menoleh ke belakang dengan perasaan pahit atau mengingati satu sama lain hanya melalui kesalahan lalu. Kita pernah menjadi dua insan yang memilih satu sama lain, membina kehidupan bersama dan benar-benar mencuba.
“Saya fikir ada sesuatu yang wajar dihargai walaupun perjalanan ini berakhir lebih singkat daripada yang dibayangkan.
“Saya hanya mendoakan yang terbaik buat awak dan terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada kehidupan serta cerita saya.
“Semoga Allah SWT menyembuhkan segala luka yang masih tersimpan dalam hati serta mengurniakan kebahagiaan dalam kehidupan mendatang.
“Jaga diri dan terima kasih untuk segalanya, Che Hafiz,” ujarnya.
Terdahulu, Julia mendedahkan pengalaman meninggalkan rumah kelamin hanya dengan pakaian di badan dan sebuah beg tangan berisi barangan penting, termasuk kad pengenalan, sejak setahun lalu.
Pengalaman tersebut diakui meninggalkan kesan mendalam terhadap emosinya sehingga dia mengambil keputusan untuk berehat daripada aktiviti seni bagi memberi ruang kepada diri sendiri untuk pulih.
Untuk rekod, Julia dan Che Hafiz mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2022 menerusi majlis akad nikah tertutup di sebuah hotel di ibu negara. – KOSMO! ONLINE














