Gaji pekerja pakaian Bangladesh naik 36 peratus kepada lebih RM600 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DHAKA – Pekerja sektor pakaian Bangladesh ditawarkan kenaikan gaji 36 peratus selepas berbulan-bulan melancarkan  protes yang mengakibatkan ekonomi negara rugi beratus-ratus juta dolar.

Pengerusi lembaga upah industri pakaian yang dilantik kerajaan Bangladesh berkata semalam  bahawa ‘majoriti’ ahli  lembaga tersebut bersetuju untuk menaikkan gaji minimum sektor itu daripada 12,500 taka (RM450) kepada 17,500 takan(RM612) sebulan.

Bank pusat Bangladesh menyifatkan sektor pakaian sebagai ‘enjin eksport negara’.  Ia menjana pendapatan kira-kira AS$38 bilion (RM156.4 bilion)  setahun, menggaji empat juta orang dan menyumbang empat perlima daripada keseluruhan eksport negara. 

Tawaran 17,500 taka itu masih  di bawah 30,000 taka (RM1,080) yang diminta oleh kumpulan  penunjuk perasaan, manakala masih belum jelas sama ada mereka akan menerima jumlah yang ditawarkan.

“Walaupun kami tidak berpuas hati sepenuhnya, hasilnya tidaklah begitu teruk,” kata wakil pekerja dalam lembaga upah yang ditubuhkan untuk menyelesaikan krisis tersebut, Babul Akhter kepada pemberita. 

Akhter menggesa para pekerja agar kembali ke kilang masing-masing.

“Sebelum ini, pekerja mendapat semakan gaji setiap lima tahun tetapi kali ini gaji mereka disemak selepas tiga tahun,” tambahnya.

Kenaikan gaji itu akan berkuat kuasa Disember ini dengan para pekerja menerima gaji baharu pada  Januari 2027.

Persatuan Pengilang dan Eksport Pakaian Bangladesh (BGMEA) menyatakan pada Ahad lalu  bahawa protes pekerja menyebabkan industri pakaian mengalami anggaran kerugian sebanyak AS$428 juta (RM1.7 bilion), manakala pesanan bernilai AS$254 juta (RM1 bilion)  beralih ke negara lain.

Bangladesh yang mempunyai 170 juta penduduk, merupakan pengeksport pakaian kedua terbesar di dunia, di belakang China.  – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN