KUALA LUMPUR – Ibu kepada penderma organ, Allahyarham Nurul Natasya Ahmat Jaaffar memaklumkan pembedahan pemindahan jantung anaknya telah berjaya dilaksanakan di Institut Jantung Negara (IJN), semalam.
Noreah Omar berkata, dia bersyukur pembedahan dilakukan berjaya dan jantung berkenaan telah bersama penerimanya.
“Alhamdulillah, jantung anak ibu, Nurul Natasya Ahmat Jaaffar sudah selamat sampai ke penerima dan berjaya dalam pembedahan.
“Tak kira lah bangsa apa yang menerimanya, anak kesayangan ibu Asya ikhlas,” demikian luahan kegembiraan Noreah Omar.
Nurul Natasya meninggal dunia pada Ahad lalu selepas terbabit kemalangan di Kluang pada 19 November lalu.
Allahyarham yang mendermakan jantung, paru-paru dan hati turut diberikan penghormatan terakhir menerusi ‘Walk of Honour’ daripada warga Hospital Sultanah Aminah sebagai menghargai pengorbanan dan sumbangan murninya kepada insan lain yang memerlukan.
Noreah berkata, beliau tidak mempersoalkan latar belakang bangsa penerima kerana anak kesayangannya itu ikhlas memberikan peluang kepada insan lain untuk meneruskan kehidupan.
Beliau turut mendoakan semoga penerima jantung anaknya itu dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dan dikurniakan kesihatan berpanjangan.
Dalam masa yang sama Noreah turut meluahkan kerinduan terhadap Allahyarham anaknya itu dan menganggap setiap degupan jantung berkenaan sebagai pengubat rindu terhadap arwah anak kesayangannya itu.
“Semoga si penerima menjalani kehidupan baik dan sihat. Setiap degupan jantungnya adalah kerinduan ibu. Memelukmu. Allahuakbar,” luahnya menerusi ruangan komen di laman Facebook IJN sempena kejayaan pembedahan pemindahan jantung berkenaan.
Dalam hantaran berkaitan, IJN memaklumkan mereka berjaya melaksanakan pembedahan pemindahan jantung ke atas remaja lelaki berusia 16 tahun dari Sandakan, Sabah.
IJN berkata, sehari selepas pembedahan, pesakit itu sudah sedar dan menunjukkan perkembangan yang baik.
Katanya, ia adalah pencapaian yang memberangsangkan dalam perjalanan pemulihan remaja terbabit.
“Kejayaan ini dapat dicapai hasil daripada dedikasi serta penyelarasan yang lancar oleh pasukan pemindahan pelbagai disiplin IJN, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA).
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada penderma organ dan keluarga mereka atas kemurahan hati yang luar biasa, yang memberikan peluang kedua untuk hidup kepada pesakit muda ini.
“Satu anugerah yang berharga, degupan jantung yang baharu dan masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Sementara itu, luahan Noreah mengundang sebak dalam kalangan pengguna media sosial yang turut menitipkan doa buat penerima serta keluarga Allahyarham.
Mereka berterima kasih dan mendoakan kesejahteraan arwah anaknya termasuk seorang doktor yang merawat remaja terbabit di Sabah.
Doktor berkenaan meninggalkan komen mengucapkan terima kasih kepada Noreah atas tindakan yang bermakna itu.
“Saya mengucapkan terima kasih dari lubuk hati yang paling dalam. Daripada seorang daripada doktor yang merawat budak lelaki ini di Sabah,” katanya.














