KUALA LUMPUR – Jurulatih tempatan wajar diberi ruang mempersiapkan diri bagi berdepan sebarang kemungkinan termasuk kegagalan mendapatkan peluang untuk melatih pasukan.
Tanpa mengetepikan kerjaya kejurulatihan, mereka perlu didedahkan dengan bidang berbeza seperti keusahawanan, pengurusan dan ilmu di luar bola sepak bagi memberikan nilai tambah kepada perjalanan karier masing-masing.
Ini kerana jurulatih tempatan tidak seharusnya hanya bergantung kepada kepakaran teknikal dan taktikal, sebaliknya perlu memiliki kemahiran tambahan yang boleh dimanfaatkan sekiranya berdepan kesukaran mendapatkan tempat untuk melatih pasukan.
Calon Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Azlan Johar berkata, seseorang jurulatih perlu dibantu supaya lebih bersedia untuk berdepan kemungkinan pada masa akan datang, termasuk kecenderungan pasukan mengambil jurulatih import.

“Kita ada ramai jurulatih yang ada lesen tetapi bagaimana pula dengan peluang mereka untuk mengendalikan pasukan? Ada pasukan yang mahu ambil jurulatih import dan mereka akan hadir satu set pasukan kejurulatihan, jadi dimana ruang untuk jurulatih tempatan?
“Seiring dengan keadaan semasa, kita mahu jurulatih tempatan kita tidak hanya pakar dalam aspek teknikal atau pun taktikal dalam padang, sebaliknya lebih daripada itu. Jadi kita mahu jurulatih lebih berdaya saing, memiliki pemikiran terbuka dan sentiasa bersedia ceburi bidang lain.
“Selalunya jurulatih adalah bekas-bekas pemain bola sepak negara, kebanyakan mereka dalam kepayahan dan tiada kelayakan, jadi kita di PJBM kena bantu.
“Misalnya, kita hendak bantu dengan menyediakan kursus atau pun program tertentu, sekurang-kurangnya kita mahu melihat jurulatih kita boleh tampil lebih yakin, mampu buat kertas kerja berkualiti atau pun mahir dalam bidang keusahawanan. Idea seperti inilah yang saya mahu lakukan jika diberi kepercayaan,” katanya.
Selain Azlan, Datuk Richard Nelson Scully turut akan bertanding merebut jawatan presiden bagi mencabar penyandang semasa, Datuk Ong Kim Swee pada Kongres Tahunan PJBM, Sabtu ini.
Selain itu, Azlan juga akan mementingkan kebajikan dimana setiap ahli PJBM akan dilindungi insuran dan khairat kematian untuk mengurangkan beban waris serta mahu mewujudkan kesinambungan karier seseorang jurulatih.
Azlan yang juga Pengerusi Yayasan Lagenda dan pernah menggalas tanggungjawab selaku Setiausaha Agung PJBM cukup menggalakkan bekas pemain serta jurulatih meneruskan pengajian bagi meneroka bidang baharu sekali gus menjamin masa depan lebih cerah.
Yayasan Lagenda juga sudah memulakan langkah merealisasikan hasrat Azlan untuk melahirkan ‘jurulatih cerdik’ menerusi kerjasama dengan Kolej Universiti Antarabangsa Spektrum (SIUC), dimana pengendali Kuala Lumpur City, Datuk Dollah Salleh muncul ‘pelajar’ pertama menyambung pelajaran dibawah inisiatif yayasan berkenaan.
“Apabila jurulatih didedahkan dengan ilmu baharu, ia akan mematangkan lagi pemikiran dan mampu membina nilai lebih positif. Secara tidak langsung, ia juga mampu beri kesan lebih baik kepada anak didik mereka latih sekali gus boleh melahirkan pemain lebih matang seperti kita sering lihat di luar negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














