ZII JIA memerlukan masa 38 minit bagi menundukkan Subramaniam dan melangkah ke pusingan kedua. - SHIDDIEQIIN ZON

Syed Modi: Zii Jia lulus ‘ujian’ pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India.

Pada aksi pusingan pertama di Akademi Badminton BBD U.P sebentar tadi, pilihan kedua kejohanan itu menang 21-17, 21-12 ke atas pemain tuan rumah, Sankar Subramaniam.

Turun sebagai pemain pilihan, tekanan pastinya berada di pihak Zii Jia, namun dia kekal tenang biarpun diberikan tentangan sengit pemain India itu.

Aksi set pertama dilihat berlangsung cukup seimbang dengan kedua-dua pemain saling berbalas serangan sebelum Zii Jia mula menjarakkan diri selepas mata ke-11.

Bagaimanapun, Subramaniam tidak mudah mengalah apabila cuba mengejar dengan mengutip mata demi mata, namun Zii Jia berjaya mengekalkan fokus dan menang 21-17.

Memasuki set kedua, bekas pemenang kejohanan All England itu turut berdepan situasi sama apabila diberikan tentangan sengit pada awal perlawanan.

Sebaik mendapat mata ke-11, Zii Jia tidak menoleh ke belakang lagi apabila mengutip mata demi mata sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua dengan kemenangan 21-12.

Menjelang pusingan kedua esok, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu akan menantikan pemenang pertemuan antara dua pemain India, Pranay Shettigar atau Saneeth Dayanand.

Turut melangkah ke pusingan kedua adalah perseorangan lelaki kebangsaan, Eogene Ewe serta perseorangan wanita, Wong Ling Ching yang menewaskan lawan masing-masing.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi seorang lagi perseorangan lelaki negara, Justin Hoh apabila tersingkir di pusingan pertama selepas tewas 11-21, 17-21 kepada pemain India, Tushar Suveer. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN