TANJUNG MALIM – Tiga kali bertukar universiti, seorang pensyarah yang juga orang kurang upaya (OKU), Muhammad Ashraf Anuar, 37, akhirnya berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan Kewangan pada Majlis Konvokesyen ke-28 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini semalam.
Muhammad Ashraf berkata, dia mengambil masa selama lima tahun untuk menamatkan pengajian ekoran penyakit dihadapinya, mild hydrocephalus iaitu pengumpulan cecair serebrospinal (CSF) secara berlebihan di dalam rongga otak (ventrikel) tahap ringan.
Katanya, penyakit itu membataskan pergerakannya terutamanya kedua-dua bahagian otot kaki selain tidak boleh berdiri agak lama.
“Saya terpaksa menggunakan kerusi roda untuk aktiviti seharian sejak berumur 10 tahun kerana penyakit ini.
“Disebabkan itu juga, saya terpaksa mengambil masa lama sebelum mengenggam PhD ini kerana bertukar tiga universiti iaitu Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UniSHAMS), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan terakhir UPSI,” katanya di sini semalam.
Muhammad Ashraf berkata, keterbatasan penyakit itu menyebabkan dia sukar untuk ke perpustakaan untuk mencari maklumat berkaitan PhD.
“Komitmen kerja sebagai pensyarah selain perlu menghadiri kelas PhD pada mulanya agak sukar. Tetapi, berkat dorongan ibu bapa, guru dan rakan pensyarah membuatkan saya semangat untuk menamatkan pengajian,” katanya.
Muhammad Ashraf yang masih bujang kini merupakan pensyarah Fakulti Perniagaan dan Kewangan di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
Dia yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu antara 6,781 graduan menerima sijil pada konvokesyen UPSI kali ini.














