PETALING JAYA – Seorang bayi berusia lima bulan ditemukan tidak sedarkan diri ketika berada di rumah pengasuh sebelum dibawa ibunya ke hospital untuk mendapatkan rawatan pada 14 November lalu.
Mangsa yang dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) itu turut mengalami sawan selain mempunyai kesan lebam dan luka pada bahagian muka serta telinga.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan HCTM berhubung kejadian itu pada pukul 5.46 petang.
Menurut beliau, mangsa kini ditempatkan di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) bagi pemantauan dan pemeriksaan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan hantaran yang belum disahkan sehingga boleh menjejaskan siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














