MBAPPE meledak dua gol ketika membantu Real bangkit menewaskan PSV awal pagi semalam. - AFP

UCL: Real bangkit menang besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MADRID – Percaturan bijak dilakukan jurulatih, Jose Mourinho di separuh masa kedua menjadi pencetus kebangkitan Real Madrid ketika membelasah PSV Eindhoven 5-1 pada aksi Liga Juara-Juara (UCL) di Santiago Bernabeu awal pagi semalam.

PSV meletakkan Real dalam keadaan tertekan apabila menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-32 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Ivan Perisic selepas Sven Mijnans dikasari Aurelien Tchouameni.

Ketinggalan 0-1 di separuh masa pertama menyebabkan Mourinho terpaksa mengambil langkah drastik dengan melakukan tiga pertukaran awal pada babak kedua memasukkan Jude Bellingham, Dean Huijsen dan Ibrahima Konate.

Percaturan itu nyata berbaloi apabila Real meledak lima gol hasil dua jaringan dilakukan Kylian Mbappe serta masing-masing satu gol menerusi Bellingham, Federico Valverde dan Vinicius Junior.

“Ketika waktu rehat separuh masa pertama, kami masuk ke bilik persalinan dan bercakap. Apa yang dibincangkan itu biarlah kekal di sana dan kami menunjukkan respons yang sangat baik di separuh masa kedua.

“Sebaik sahaja perlawanan bersambung, kami menunjukkan mentaliti yang cukup hebat. Corak permainan berubah 100 peratus dan kami mula mempamerkan kemampuan sebenar yang dimiliki Real Madrid,” kata Mourinho.

Perubahan taktikal dilakukan pengendali dari Portugal itu mendapat pujian daripada barisan pemainnya, terutamanya Valverde yang menyifatkan strategi tersebut membantu mereka meledak lima gol.

Sementara itu, Mourinho juga tanpa berselindung mengakui membuat kesilapan besar apabila tidak meletakkan Bellingham dalam kesebelasan utama kerana menganggap mereka mampu menang tanpa kehadiran pemain England itu.

“Pada awalnya saya menganggap kami boleh menang walaupun Bellingham tidak berada dalam kesebelasan utama. Akhirnya, saya sedar dengan kesilapan yang dibuat dan memasukkan dia di separuh masa kedua,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN