LUMUT – Seorang nelayan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Manjung di sini hari ini atas pertuduhan menghina hadis dan menghuraikan agama yang berlawanan dengan hukum syarak dua tahun lalu.
Difahamkan, tertuduh, Mazlan Abd. Shukor, 59, merupakan seorang daripada pemimpin dan tenaga pengajar ajaran sesat Millah Abraham di Manjung.
Lelaki itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Ridzuan Yusof.
Mengikut pertuduhan, Mazlan didakwa menghina hadis di sebuah rumah di Taman Pantai Makmur, Pantai Remis di sini antara pukul 11 pagi dan 12 tengah hari pada 26 April 2024.
Tertuduh turut didakwa menghuraikan agama yang berlawanan dengan hukum syarak kepada dua anak perempuannya yang berusia 20 dan 23 tahun di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Mazlan didakwa mengikut Seksyen 15 dan Seksyen 9 Enakmen Jenayah (Syariah) 1992 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pendakwa Syarie, Amir Sabri Zulkipli menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Mazlan dengan alasan kesalahan yang dilakukan lelaki itu serius kerana melibatkan kepentingan agama Islam.
Bagaimanapun tertuduh merayu jumlah jaminan yang minimum kerana menanggung dua anak yang masih belajar di institusi pengajian tinggi.
Mahkamah membenarkan Mazlan diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














