KUALA LUMPUR – Pelancaran Ikrar Digital: Toleransi Sifar Keganasan Terhadap Wanita menjadi antara agenda utama Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) 2026 dalam usaha memperkukuh komitmen masyarakat membanteras segala bentuk keganasan terhadap golongan itu.
Sambutan anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) itu berlangsung di Menara Kuala Lumpur di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil serta rakan strategik.
Hui Ying berkata, sambutan itu bertepatan dengan Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita yang diperingati pada 25 November setiap tahun.
Katanya, tema kempen tahun ini, ‘UNiTE to End Violence against Women and Girls: Ensure justice, protect survivors, end impunity’ membawa mesej penting dalam memastikan keadilan ditegakkan, mangsa dilindungi dan pelaku keganasan tidak terlepas daripada tindakan.
“Toleransi sifar bermaksud kita tidak menerima, tidak membenarkan dan tidak berkompromi dengan sebarang bentuk keganasan terhadap wanita.
“Namun, ikrar ini tidak seharusnya sekadar menjadi komitmen di atas kertas atau paparan digital. Nilainya terletak pada tindakan kita dalam kehidupan seharian,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Sambutan berkenaan turut diserikan dengan Kempen Orange the Nation menerusi inisiatif pencahayaan berwarna oren di Menara Kuala Lumpur sebagai simbol solidariti terhadap usaha membanteras keganasan terhadap wanita.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran dokumen ‘Financial Abuse and Financial Resilience: Policy Considerations for Islamic Financial Institutions in Malaysia’ yang dihasilkan United Nations Population Fund (UNFPA) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (IRCIEF).
Dokumen berkenaan mengetengahkan isu penderaan kewangan serta kepentingan membina daya tahan ekonomi wanita, selain menjadi rujukan kepada institusi kewangan dalam memperkukuh perlindungan terhadap golongan tersebut.
Menurut Hui Ying, penderaan kewangan merupakan antara bentuk keganasan yang sering tersembunyi dalam hubungan dan urusan kewangan keluarga, namun kurang disedari masyarakat.
Menurutnya, ada wanita yang diugut supaya menyerahkan gaji, dihalang daripada mengakses akaun bank sendiri atau dipaksa membuat pinjaman atas nama mereka.
“Ada juga yang dikawal sepenuhnya dalam urusan kewangan sehingga tidak mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan bagi keperluan diri dan anak-anak.
“Kita perlu memahami bahawa apabila wang digunakan untuk mengugut, memaksa atau mengawal seseorang, perbuatan itu juga merupakan satu bentuk penderaan,” katanya.
Beliau berkata, keupayaan mengakses wang sendiri, mempunyai pekerjaan dan mendapatkan sumber sokongan amat penting bagi membolehkan seseorang wanita membuat keputusan yang selamat.
Dalam pada itu, Hui Ying berkata, sepanjang tahun ini, KPWKM menerusi JPW telah melaksanakan sebanyak 144 program dan kempen pencegahan keganasan serta diskriminasi di seluruh negara yang memanfaatkan 37,774 peserta.
Katanya, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 5,862 kes keganasan rumah tangga bagi tempoh Januari hingga September tahun ini dengan 4,411 kes melibatkan mangsa wanita.– KOSMO! ONLINE














