Tangkap layar video dimuat naik memaparkan situasi ban pecah di RTB Bukit Changgang. Foto AYUN_DJI

Tular Ban RTB Bukit Changgang didakwa pecah lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penduduk di sekitar Bukit Changgang, Selangor sekali lagi berdepan ancaman banjir susulan kejadian ban di kawasan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bukit Changgang yang didakwa pecah pagi ini.

Menerusi beberapa gambar dan rakaman video yang dikongsikan di media sosial, air berwarna keruh kelihatan mengalir deras menerusi bahagian benteng yang terputus sebelum menenggelami kawasan sekitar.

Rakaman udara yang dikongsikan pengguna Threads, @ayun_dji turut memperlihatkan kawasan ladang kelapa sawit yang luas ditenggelami air, selain beberapa binaan yang turut terjejas.

Seorang pengguna Threads, @saifultokhai mendakwa, kejadian itu menyebabkan dia berdepan musibah banjir buat kali kedua tahun ini, sedangkan bantuan bagi kejadian terdahulu masih belum diterimanya.

“Ban rumah aku kawasan RTB Bukit Changgang pecah lagi, untuk tahun ini aku jadi mangsa banjir untuk kedua kalinya.

“Ironinya bantuan banjir yang lepas daripada MBI (Menteri Besar Selangor Incorporated) baru nak serah 6 Disember ini,” katanya.

Seorang lagi pengguna Threads, @acaiijawe mendakwa kejadian serupa pernah berlaku di lokasi sama kira-kira lima bulan lalu, namun masalah tersebut masih berulang sehingga kini.

“Lima bulan lepas kawasan ini banjir sebab ban yang sama pecah. Hari ini pecah lagi. Sepatutnya ada banyak masa nak siapkan ban konkrit yang dah separuh jalan,” dakwanya.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Nor Izzuana Izhar turut meluahkan kebimbangan selepas air sungai dilaporkan memasuki kawasan kampung susulan kejadian ban pecah itu.

“Kerisa­uan yang tiada berkesudahan setiap kali hujan lebat. Banjir… Ban pecah, air sungai dah masuk kampung. Adik-adik ipar dah mula kemas bawah rumah mak mentua,” katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan maklumat di laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat pukul 11.30 pagi ini, paras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat mencatatkan bacaan 4.74 meter, melebihi paras bahaya iaitu 4.2 meter.

Bagaimanapun, bacaan paras air sungai berkenaan menunjukkan trend menurun meskipun masih berada 0.54 meter di atas paras bahaya.

Terdahulu, Kosmo! pada 25 Jun lalu melaporkan lebih 3,000 penduduk Kampung RTB Bukit Changgang berdepan detik cemas selepas kawasan perkampungan mereka dilanda banjir susulan kejadian ban Sungai Langat pecah pada malam sebelumnya.

Kejadian itu menyebabkan sebahagian besar kediaman penduduk ditenggelami air sehingga sedalam satu meter, selain menjejaskan laluan keluar masuk ke kawasan perkampungan berkenaan.

Susulan kejadian tersebut, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim memaklumkan kerja-kerja baik pulih rebakan ban sepanjang 50 meter dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh dua hari.

Beliau ketika itu turut memaklumkan peruntukan sebanyak RM4 juta disediakan bagi pembinaan ban menggunakan sistem konkrit pratuang (SPS) di kawasan berkenaan.

Kejadian ban pecah di Bukit Changgang juga pernah dilaporkan pada 3 Januari 2022 sehingga menyebabkan air Sungai Langat melimpah masuk ke kawasan tali air berhampiran perkampungan tersebut. – KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN