SEBERANG PERAI – Kecederaan akibat objek tumpul pada bahagian kepala dikenal pasti sebagai punca kematian seorang lelaki yang ditemukan meninggal dunia di Kampung Baru, Jalan Byram, Nibong Tebal di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou berkata, ia disahkan menerusi hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Seberang Jaya hari ini.
Menurutnya, identiti mangsa masih belum dikenal pasti, manakala individu yang disyaki terlibat dalam kejadian itu juga belum dikesan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif kejadian serta mengesan individu yang terlibat,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan mayat mangsa ditemukan di kawasan Kampung Baru, Jalan Byram semalam sebelum polis menerima laporan berhubung penemuan tersebut.-KOSMO! ONLINE














