PETALING JAYA – Pemergian Pegawai Perubatan (Pediatrik) Hospital Taiping, Dr. Thillak Raman akibat kemalangan sewaktu menunggang motosikal ke tempat kerja pagi tadi mengundang sebak orang ramai, termasuk mereka yang mengenali mendiang.
Menerusi perkongsian orang ramai di media sosial, mereka berkongsi kebaikan Dr. Thillak, 38, sewaktu merawat pesakit yang terdiri daripada bayi dan kanak-kanak.
Dalam masa sama, Public Health Malaysia menerusi hantaran Facebook turut berkongsi kisah mendiang serta menyifatkan pemergian Dr. Thillak satu kehilangan besar kepada negara.
“Pagi ini, beliau keluar untuk pergi bekerja, namun tidak lagi pulang ke pangkuan keluarga. Dr. Thillak Raman, seorang pegawai perubatan dalam bidang pediatrik di Hospital Taiping, dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Pasukan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Taiping dilaporkan telah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan beliau, namun mendiang tidak dapat diselamatkan,” menurut hantaran itu hari ini.
Public Health Malaysia turut memetik perkongsian orang ramai yang menyentuh hati berhubung pemergian Dr. Thillak.
“Seorang ibu masih mengingati bagaimana Dr. Thillak sering datang ke katil anaknya sejak anaknya berusia tiga hingga lima tahun.
“Rakan sekerja menyifatkan mendiang sebagai antara doktor pediatrik terbaik di Hospital Taiping, seorang bakal pakar yang penyayang terhadap pesakitnya.
“Begitu besar kesan ditinggalkan oleh seorang doktor dalam kehidupan orang lain. Bukan sekadar melalui ilmu dan kemahiran perubatan, tetapi juga melalui perhatian, kelembutan dan kasih sayang diberikan kepada pesakit kecilnya,” katanya.
Di ruangan komen, orang ramai meninggalkan ucapan takziah selain bersedih dengan pemergian beliau.
“Perginya seorang doktor bukan sekadar kehilangan seorang insan, tapi hilangnya satu tangan yang banyak menyelamatkan. Moga keluarga terus tabah, dan jasa baiknya kekal dalam ingatan,” komen Ustazah Asma’ Harun.
“Doktor ini yang selamatkan dua bayi kembar saya sewaktu dimasukkan ke NICU,” kata Ashiv Shun.
“Doktor yang baik, peramah. Pernah rawat anak saya 2015 hingga 2016 di Hospital Kuala Kangsar. Salam takziah untuk keluarga mendiang,” kata Izz Razaly.
“Doktor yang sangat lembut bila berbicara dengan ibu bapa masa anak-anak dirawat di hospital. Doktor pernah rawat anak sulung dan nombor dua saya,” kata Noor Syawalriah Ahmad Nazri. – KOSMO! ONLINE














