Fadil ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat Dan Serah Terima Tugas Ketua JSPT Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

114 pelajar sekolah ditahan kerana memandu secara melulu, berbahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penglibatan pelajar sekolah berusia bawah 17 tahun dalam kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya di ibu negara semakin membimbangkan apabila seramai 114 individu ditahan dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, jumlah tangkapan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 69 orang sepanjang tahun lalu dan 52 orang pada 2024.

Menurutnya, peningkatan tersebut merupakan satu isyarat yang perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak, khususnya ibu bapa.

“Peningkatan ini merupakan satu isyarat yang perlu diberikan perhatian serius. Ia bukan sekadar isu penguatkuasaan, tetapi turut melibatkan aspek pendidikan, kesedaran, pengawasan ibu bapa dan tanggungjawab bersama masyarakat.

“Saya mahu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur terus mempergiatkan program advokasi keselamatan jalan raya dengan kerjasama pihak sekolah, Jabatan Pendidikan, agensi berkaitan dan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua JSPT Kuala Lumpur di Balai Polis Trafik, Jalan Tun H.S. Lee, di sini hari ini.

Fadil berkata, pendekatan pencegahan perlu diberikan keutamaan bagi memastikan golongan muda memahami tanggungjawab mereka sebagai pengguna jalan raya.

“Pendekatan pencegahan perlu diberikan keutamaan agar golongan muda memahami bahawa jalan raya bukan tempat untuk menguji keberanian atau menunjukkan kehebatan, sebaliknya merupakan ruang awam yang menuntut disiplin, kematangan dan tanggungjawab,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan peranan JSPT bukan sekadar mengawal aliran trafik dan mengambil tindakan terhadap pesalah jalan raya, sebaliknya turut memikul tanggungjawab besar dalam melindungi nyawa serta menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Sementara itu, sebanyak 563,953 tindakan penguatkuasaan trafik direkodkan menerusi lima operasi utama di ibu negara bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding 444,594 tindakan pada tahun lalu.

Dalam tempoh sama, sebanyak 67,262 kes kemalangan jalan raya turut direkodkan dengan 197 daripadanya merupakan kemalangan maut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN