KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Mierul Aiman mendedikasikan kemenangannya dalam Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) menerusi kategori Pelakon Lelaki Harapan kepada semua yang percaya dan berharap dengan bakatnya.
Mierul atau nama lengkapnya Mohammad Amirul Aiman Norazman, 28, turut menyifatkan kemenangannya dalam FFM35 sebagai petanda bahawa dia sedang berada di landasan yang tepat sebagai seorang pelakon.
“Kemenangan ini adalah untuk mereka yang sentiasa percaya dan berharap dengan bakat saya dari dulu hingga sekarang.
“Sejujurnya saya tidak pernah menyangka satu hari nanti saya akan menggenggam trofi ini.
“Tetapi secara peribadi, saya milihat anugerah pelakon harapan ini sebagai titik mula untuk saya.
“Saya kini lebih percaya bahawa inilah jalan karier saya, tanggungjawab saya sebagai pekerja dalam industri kreatif,” katanya ketika ditemui di sidang media FFM35, yang berlangsung di Istana Budaya pada Sabtu.
Tambah pelakon filem Tarung: The Unforgiven itu lagi, kemenangan pertamanya dalam FFM35 itu juga menjadi pemangkin semangat untuk dia terus bekerja keras sebagai seorang pelakon.
“Kemenangan ini membuat saya lebih bersemangat, ikhlas dan jujur sebagai seorang pelakon.
“Apa yang penting sebagai seorang pelakon adalah impak yang diberikan kepada penonton. Anugerah adalah satu bonus,” jelasnya.
Ditanya siapakah yang menjadi pesaing terdekatnya dalam kategori tersebut, juara Hero Remaja 2021 itu melihat Merah Muhaimin antara yang memberi saingan sengit.
Baru sahaja muncul dengan filem Kudrat 1968 : High Council yang turut mendapat sambutan hangat, akan datang Mierul mempunyai dua buah filem lagi yang bakal menemui penonton.
“Kalau boleh saya mahu berlakon lebih banyak filem. Saya mahu menajamkan lagi kemahiran saya dalam bidang lakonan.
“Kalau boleh saya mahu teroka lebih banyak watak. Itu azam saya untuk tahun baharu nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE.














