KUALA SELANGOR – Menghalang laluan ke tempat pembuangan haram menjadi punca pihak tidak bertanggungjawab memecahkan ban di Sungai Buloh beberapa hari lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, siasatan mendapati ban itu menghalang laluan mereka ke kawasan tersebut untuk membuang sampah secara haram dalam skala besar.
“Pihak tersebut dipercayai baru membuang sampah di kawasan ini. Sebelum ini, mereka membuang sampah di Sentosa (Bestari Jaya).
“Kita (kerajaan Selangor) tutup tapak (di Sentosa). Jadi, mereka buang sampah di sini pula. Penduduk sekitar pun tidak perasan kewujudan pembuangan sampah haram di sini,” katanya selepas melawat tapak pembuangan haram di kawasan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh di Ijok, di sini, hari ini.
Menurut Amirudin, pihak polis masih menjalankan siasatan ke atas suspek yang terlibat dan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka.
Keluasan tapak pembuangan haram tersebut dianggarkan kira-kira dua hektar.
“Untuk membuka kawasan tapak pembuangan sampah, kebenaran perlu diperoleh daripada kerajaan negeri. Saya akan minta polis melakukan pemantauan secara kerap di tapak ini. Selain itu, kita akan memasang televisyen litar tertutup di kawasan ini,” katanya.
Amirudin berkata, kerajaan negeri turut merancang untuk merampas tanah berkenaan bagi mengelak mana-mana pihak menjadikan kawasan tersebut sebagai tapak pembuangan sampah haram.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis menahan suspek yang dipercayai memecahkan ban di Sungai Buloh yang menjadi salah satu sebab kejadian banjir di kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE














