KUALA LUMPUR – “Kalaulah arwah ayah saya masih ada, dia pasti bangga dengan kemenangan saya.”
Itu kenyataan pemenang Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia ke-35, Aila Azizul usai menerima trofi pertama dalam karier seni yang baru bermula sekitar tiga tahun lalu.
Sambil mengalirkan air mata, Aila atau nama lengkapnya Aila Azizul Hisham, 31, berkata, bapanya meninggal dunia akibat kanser lidah pada tahun 2023 iaitu setahun sebelum dia mendapat tawaran membintangi filem Malam Terlarang.
“Dari kecil lagi dia memang selalu sokong saya. Dia selalu bawa saya pergi kelas lakonan dan sesi latihan.
“Dia akan tunggu saya pulang ke rumah untuk tanya khabar dan perkembangan saya. Saya tahu dia pasti bangga dengan kemenangan saya malam ini kerana dia ialah penyokong nombor satu saya,” katanya sebak.
Bercerita lanjut tentang kemenangannya, kata Aila, dia tidak menyangka akan membawa pulang trofi impian ramai pelakon baharu itu.
“Sejujurnya memang tak sangka dengan kemenangan ini. Sampai sekarang tangan saya masih menggeletar. Tercalon dalam top 5 pun di luar jangkaan saya.
“Malam Terlarang adalah filem pertama saya. Anugerah ini merupakan pengiktirafan terbesar buat saya,” jelasnya.
Ditanya apakah cabaran dalam menjayakan watak dalam filem Malam Terlarang, kata pelakon bermata galak itu, cabaran utamanya adalah transisi dari dunia teater ke layar lebar.
“Saya berlakon teater sejak dari kecil lagi. Berlakon teater pembawakannya lebih besar dan menyeluruh. Untuk filem pula kena kecilkan dan sampaikan secara halus.
“Dalam filem ini pula watak saya ada tiga lapisan yang berbeza. Jadi itulah saya cabaran yang harus saya lalui,” kongsinya yang turut membintangi filem Pemuja Syaitan dan drama bersiri Generasi Perfect 10. – KOSMO! ONLINE














