KUALA LUMPUR – Seorang bapa terkilan dengan tindakan seorang pemandu yang didakwa melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa anaknya di Kilometer (KM) 34, Lebuh Raya Persekutuan di Petaling Jaya, Sabtu lalu.
Nahas pada pukul 5 pagi itu menyebabkan mangsa, Tan Si Yin, 20, tercampak keluar daripada kereta jenis Mercedes-Benz.
Bapa mangsa yang enggan dikenali dilihat masih terkejut dan gagal menahan emosi ketika hadir pada upacara pengebumian anak perempuannya yang turut dihadiri ahli keluarga serta saudara-mana.
“Kenapa dia (pemandu) lari tinggalkan anak saya selepas kemalangan? Jika buat salah, dia sepatutnya bertanggungjawab!” katanya.
Lelaki itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menyerahkan siasatan mengenai kes kemalangan tersebut kepada pihak berkuasa.
Sementara itu, tinjauan di Pusat Peringatan Kwong Tong di sini mendapati, suasana pilu menyelubungi pekarangan dewan apabila ahli keluarga hadir seawal pukul 8 pagi untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.
Van yang membawa jasad Si Yin dilihat bergerak keluar pada pukul 9.25 pagi menuju ke Krematorium Cheras untuk upacara pembakaran dengan diiringi ahli keluarga terdekat.
Dalam pada itu, ibu saudara mangsa memaklumkan, sehingga kini keluarga Si Yin masih buntu berhubung keberadaan pemandu lelaki berkenaan.
“Kami masih tidak tahu apa-apa, malah kami juga tidak tahu kenapa mendiang menaiki kereta lelaki itu pada hari kejadian. Apa yang kami tahu, dia memang kenal pemandu itu,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, dalam kejadian pada pukul 5 pagi, 21 November lalu, sebuah kereta Mercedes-Benz yang dalam perjalanan menghala ke ibu negara dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tebing di bahu jalan dan berpusing.
Rempuhan kuat itu mengakibatkan Si Yin bersama seorang lagi penumpang wanita yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar. Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian, namun pemandu kereta dipercayai melarikan diri.
Polis kini giat memburu pemandu kereta mewah itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.














