PETALING JAYA – Bukan mudah mengendalikan sebuah program berskala besar yang menghimpunkan lebih 20,000 pengunjung di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, apatah lagi apabila ia menjadi pengalaman pertama tanpa sebarang rekod atau pengalaman mengurus majlis pada skala sebesar itu.
Bagi usahawan, Muhamad Arif Omar, tanggungjawab mengendalikan program itu bukan sahaja menguji keupayaan diri, malah menuntut komitmen tinggi apabila persiapan perlu diselesaikan dalam tempoh hanya 10 hari.
Dilantik oleh seorang rakan sebagai kontraktor utama menerusi syarikatnya, Puncak Niaga Maju Sdn. Bhd. (Puncak Niaga Maju), beliau mengakui tidak senang duduk memikirkan pelbagai kemungkinan yang boleh menjejaskan kelancaran program, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pelaburan besar.
Keadaan itu membuatkan beliau turun padang hampir 24 jam sehari bagi memastikan setiap persiapan berjalan mengikut perancangan dan memenuhi kehendak pihak penganjur.
“Meskipun terpaksa berhujan, berpanas terik dan meredah kegelapan malam, saya terus memantau kerja-kerja persiapan agar segala arahan daripada penganjur dapat dipenuhi dan memastikan program tersebut berjalan lancar.
“Hasil usaha kami sepanjang tempoh yang ditetapkan, majlis tersebut dapat disempurnakan dengan baik, malah ia mendapat pujian daripada penganjur yang membuatkan lelah selama 10 hari itu dirasakan sangat berbaloi.
“Melalui program sulung itu, keyakinan saya semakin melonjak dan ia memberi harapan baharu bahawa saya boleh pergi jauh dalam industri.
“Tiada yang mustahil jika kita benar-benar membuat perancangan yang sebaiknya, serta mendapat sokongan kukuh daripada kumpulan yang komited,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Pengalaman itu membuka mata Muhamad Arif yang sebelum ini bekerja di Maybank dan Kuwait Finance House mengenai potensi dirinya dalam bidang pengurusan acara, sekali gus mendorong beliau untuk lebih serius meneroka industri berkenaan.
Bermula dari situ, bapa kepada empat anak itu mula menyusun strategi bagi mengembangkan perniagaan untuk menjadikan Puncak Niaga Maju sebagai syarikat pengurusan majlis yang dipercayai serta mampu menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
Berasal dari Seremban, beliau melihat industri pengurusan majlis sebagai bidang yang menuntut kreativiti, idea segar serta keupayaan menyelesaikan pelbagai cabaran yang timbul sepanjang proses pelaksanaan.
“Pastinya saya sukakan cabaran begini kerana ia sedikit sebanyak akan mematangkan diri dan menambah pengalaman serta pengajaran untuk menjadi lebih berjaya dalam industri yang diceburi,” ujarnya.
Muhamad Arif mula menimba pengalaman dalam dunia perniagaan sejak 2008, sebelum mengambil keputusan pada 2013 untuk lebih serius dalam bidang perdagangan, pembinaan dan pengurusan majlis.
Puncak Niaga Maju merupakan anak syarikat kepada Netbase Resources Group Sdn. Bhd., yang turut menaungi Enity Network Sdn. Bhd. dan Oyo Mover Sdn. Bhd.

Menghadapi persaingan sengit dalam industri, Muhamad Arif bagaimanapun tidak melihat syarikat lain sebagai pesaing, sebaliknya menganggap kerjasama dan hubungan baik sesama pemain industri sebagai kekuatan untuk terus berkembang.
“Ini kerana saya sendiri banyak terlibat dalam kerjasama dengan syarikat lain. Dalam industri ini, kita perlu saling menyokong,” ujarnya.
Selepas industri terjejas akibat pandemik Covid-19, beliau mengakui syarikatnya agak kurang terlibat dalam penganjuran majlis seperti sebelum ini, namun kini kembali bersemangat mencari peluang, pelanggan dan projek baharu bagi mengisi jadual operasi sepanjang 2027.
Sebelum ini, syarikatnya pernah mengendalikan program berkonsepkan makanan dan minuman, selain penganjuran acara berkaitan Ramadan.
“Kami sasarkan untuk mengendalikan dua hingga tiga program utama tahun depan dan dalam masa yang sama, mahu membangunkan platform ‘marketplace’ untuk vendor-vendor lain.
“Kami kini dalam proses perbincangan. Selain itu, Kumpulan kami juga sedang meneroka potensi dalam bidang lain, misalnya pertunjukan fesyen,” jelasnya.
Bagi Muhamad Arif, kepuasan terbesarnya dalam perniagaan adalah melihat vendor bawah pengurusan Kumpulan berjaya memasarkan produk dan mendapat sambutan positif pelanggan.














