WEI CHONG dan Kai Wun menutup aksi musim ini dengan penuh cemerlang apabila merangkul gelaran kedua di Terbuka Hong Kong semalam.

Cara terbaik ManTee tutup musim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENANTIAN 27 tahun Malaysia untuk kembali menjuarai acara beregu lelaki pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong terleraih apabila Man Wei Chong-Tee Kai Wun berjaya menumbangkan gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin pada aksi final semalam.

Kejayaan itu sekali gus mengembalikan gelaran juara acara beregu lelaki ke Malaysia buat kali pertama sejak 1999, sejak kali terakhir legenda negara, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock melakukannya.

Beraksi di Arena Kai Tak, Wei Chong-Kai Wun mempamerkan aksi penuh bertenaga dan bijak mencari ruang untuk menundukkan gandingan yang juga juara Sukan Asia itu secara straight set 21-19, 21-18 dalam tempoh 39 minit.

Kemenangan berkenaan bukan sahaja menamatkan kemarau panjang Malaysia di Hong Kong, malah gandingan No. 9 dunia itu meneruskan momentum cemerlang selepas menjuarai Terbuka Perancis bulan lalu.

Kai Wun mengakui gembira kerana dapat menjadi sebahagian daripada sejarah berkenaan, selain menjelaskan strategi mereka pada perlawanan itu adalah untuk tidak memberi terlalu banyak peluang kepada Daniel melancarkan serangan.

“Saya sangat bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada sejarah ini. Semua orang tahu pukulan smash Marthin sangat kuat, jadi kami tidak mahu terlalu mudah membiarkan dia melakukan smash bertenaga.

“Kami perlu terus menekan mereka supaya berada dalam keadaan sedikit tertekan. Saya rasa kami berdua bermain dengan baik hari ini dan akhirnya berjaya memenangi perlawanan,” katanya kepada BWF selepas perlawanan semalam.

Kai Wun turut memuji Wei Chong yang disifatkan berjaya mengawal permainan dengan baik, terutama dalam membuka peluang di depan jaring, sekali gus membolehkannya mendapatkan lebih banyak ruang untuk menyerang.

“Dia dapat mengawal permainan dengan baik dan membuka lebih banyak peluang di depan jaring, jadi saya mempunyai lebih banyak kesempatan untuk menyerang,” katanya.

Hasil kemenangan tersebut, Wei Chong-Kai Wun membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$39,500 (RM162,469) pada kejohanan berstatus Super 500 itu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN