SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dilaporkan mendapatkan rawatan di wad sebuah hospital swasta di Seremban, di sini.
Menurut sumber, keadaan kesihatan Ismail atau lebih dikenali sebagai Tok Mail bagaimanapun dilaporkan tidak serius.
“Khabarnya Tok Mail berada di hospital. Tak sihat. Didoakan semoga dipermudahkan urusan dan cepat sembuh hendaknya. Aamiin.
“Beliau dimasukkan ke wad di sebuah hospital swasta di Seremban. Bagaimanapun, keadaan kesihatannya tidak serius,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Bagaimanapun, punca beliau dimasukkan ke wad serta waktu sebenar kemasukan ke hospital masih belum dapat dipastikan.
Perkembangan itu berlaku ketika Negeri Sembilan masih berdepan kemelut politik susulan polemik kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar, termasuk isu peletakan jawatan yang diumumkan sebelum ini.
Terdahulu, seramai 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dilaporkan akan memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pendirian mereka berhubung sokongan terhadap Ismail.
Kosmo! sedang mendapatkan maklum balas daripada Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Fasha Musthafa berhubung perkembangan baharu ini. – KOSMO! ONLINE














