Keadaan kenderaan jenis Mercedes-Benz dan mangsa selepas terlibat kemalangan di Lebuh Raya Persekutuan, pagi tadi. IHSAN MEDIA SOSIAL

Dua wanita maut tercampak dari Mercedes, pemandu ‘lesap’ diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dua penumpang maut selepas tercampak keluar dari sebuah kereta jenis Mercedes-Benz yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 34 Lebuh Raya Persekutuan menghala ibu negara, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia lingkungan 20-an dan 30-an yang berada di tempat duduk belakang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan tersebut kira-kira pukul 7 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah Mercedes-Benz berwarna emas yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tebing di bahu kiri jalan.

“Akibat pelanggaran itu, kenderaan berkenaan berpusing menyebabkan dua penumpang di bahagian belakang tercampak keluar melalui cermin belakang.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, pihak polis kini giat mengesan pemandu kereta terbabit yang dipercayai melarikan diri selepas kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil membantu siasatan.

“Mana-mana saksi boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Sivam A/L Muniandy di talian 017-3290749 atau IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN