LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Andoni Iraola mahu pasukannya bersedia menghadapi sebarang kejutan apabila Manchester United yang kini dikendalikan oleh pengurus baharu Mauricio Pochettino berkunjung ke Anfield bagi aksi tengah malam ini.
United yang berada di tangga ke-18 liga, masih belum mencatat sebarang kemenangan dalam saingan liga sejak Ogos lalu, namun, Iraola percaya kehadiran pengurus baharu mampu memberikan nafas berbeza kepada kempen United yang kurang memberangsangkan.
“Kami perlu mengakui betapa pentingnya perlawanan ini, mereka mempunyai pengurus baharu, sekali gus memberikan cabaran baharu kepada kami.
“Memang benar mereka mempunyai sedikit kelebihan kerana kami tidak mempunyai rujukan untuk membuat persiapan. Mereka boleh menggunakan pendekatan yang berbeza dan sejujurnya, kami sendiri tidak tahu apa yang bakal mereka lakukan ketika ini,” katanya.
Iraola berkata, pemain United pastinya mahu menunjukkan kemampuan masing-masing untuk memikat hati pengurus baharu mereka menyebabkan Liverpool perlu bersedia menghadapi situasi tersebut sejak awal permainan.
“Permulaan perlawanan akan menjadi sangat penting, kami mengenali pemain-pemain mereka dengan baik, termasuk kekuatan dan kelemahan yang telah mereka tunjukkan sebelum ini,” kata jurulatih dari Sepanyol itu.
Bagaimanapun, prestasi Liverpool di laman sendiri masih menjadi kebimbangan Iraola apabila mereka hanya mencatat satu kemenangan daripada lima perlawanan liga di Anfield setakat ini.
United pula tidak pernah tewas kepada Liverpool sejak September 2024, malah, mereka juga belum mengalami kekalahan di Anfield sejak dibelasah 0-7 oleh skuad kendalian Jurgen Klopp pada Mac 2023.
“Ya, saya rasa kami sedar bahawa rekod ketika bermain di tempat lawan jauh lebih baik. Kami perlu memperbaiki prestasi di laman sendiri dan perlawanan menentang United merupakan peluang pertama untuk melakukannya,” kata Iraola. – AGENSI














