Foto dikongsi Poay Tiong di Facebook ketika mempersoal arahan MBKT yang mewajibkan semua premis perniagaan menghentikan operasi selama dua jam setiap Jumaat.

Jangan gugat keharmonian rakyat Terengganu – Chee How

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Terengganu, Chan Chee How menggesa pemimpin DAP supaya tidak mencetuskan polemik berhubung arahan penutupan premis perniagaan ketika waktu solat Jumaat sehingga boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Beliau berkata, kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung perkara itu perlu berasaskan fakta lengkap serta mengambil kira keadaan sebenar masyarakat setempat.

Katanya, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebelum ini sudah memberikan penjelasan terperinci pada 10 Januari 2024 bahawa arahan penutupan sementara premis perniagaan antara pukul 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat mempunyai beberapa pengecualian.

“Premis perniagaan milik bukan Islam diberikan pengecualian dan dibenarkan beroperasi seperti biasa namun premis makanan yang mempunyai pekerja beragama Islam turut tertakluk kepada peraturan itu bagi membolehkan mereka menunaikan solat Jumaat.

“Kedai makan yang diuruskan pekerja wanita pula boleh memohon kelulusan khas untuk meneruskan operasi, manakala premis hotel turut diberikan pengecualian dengan mengambil kira keperluan musafir dan pelancong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chee How berkata, penjelasan tersebut membuktikan pelaksanaan dasar berkenaan mengambil kira tuntutan agama umat Islam tanpa mengetepikan kepentingan masyarakat bukan Islam serta sektor perniagaan dan pelancongan.

“Sekiranya terdapat surat atau arahan baharu yang didakwa bercanggah dengan penjelasan tersebut, perkara itu sewajarnya dirujuk kepada MBKT bagi mendapatkan pengesahan sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

“Saya menggesa pemimpin DAP supaya lebih bertanggungjawab dan tidak membangkitkan polemik yang berpotensi menggugat ketenteraman awam serta hubungan antara kaum dan agama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN