COX’S BAZAR – Seorang pemimpin pelarian Rohingya di Bangladesh menyatakan penghargaan selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) semalam memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap kumpulan minoriti itu.
Ratusan penduduk berkumpul di kem pelarian Cox’s Bazar untuk mengikuti prosiding ICJ menerusi skrin besar, dengan ramai yang tidak dapat menahan sebak ketika keputusan dibacakan.
“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bangladesh, Gambia dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang sentiasa bersama kami sepanjang tahun ini.
“Kami berharap semua pihak terus bersama kami sehingga kami dapat pulang ke tanah air,” kata pemimpin kanan Rohingya dan bekas Presiden Majlis Perpaduan Rohingya, Sayed Ullah kepada AFP di kem berkenaan.
Kes itu dibawa oleh Gambia berdasarkan Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1948, yang mewajibkan setiap negara mengambil tindakan terhadap negara lain yang disyaki melanggar perjanjian antarabangsa itu, yang diwujudkan selepas Perang Dunia Kedua.
Lebih sejuta etnik Rohingya kini menetap di tempat perlindungan beratapkan kanvas dan berdinding buluh di Cox’s Bazar selepas melarikan diri daripada tindakan keras tentera Myanmar dan kumpulan militia Buddha pada 2017.
Mangsa yang terselamat daripada keganasan itu membawa bersama kisah ngeri mengenai rogol, pembunuhan beramai-ramai serta kekejaman terhadap keluarga dan kanak-kanak.
Sayed berkata, keputusan itu turut mengukuhkan pengiktirafan terhadap identiti etnik Rohingya, isu sensitif kerana Myanmar enggan mengiktiraf komuniti itu sebagai salah satu kumpulan etnik rasmi negara berkenaan dan sering melabelkan mereka sebagai pendatang dari Bangladesh.
“ICJ mengiktiraf Rohingya sebagai kumpulan tersendiri yang mempunyai bahasa dan budaya sendiri. Pengiktirafan inilah yang sudah sekian lama kami tuntut,” katanya.
Mohammed Osman, yang kehilangan ibu bapa dan empat adik-beradiknya akibat dibunuh tentera Myanmar berkata, keputusan itu membuktikan dakwaan mengenai berlakunya genosid bukanlah satu pembohongan.
“Saya sangat terharu. Namun, kami baru mencapai 50 peratus daripada apa yang diharapkan. Matlamat 100 peratus hanya akan tercapai apabila kami dibenarkan pulang dengan penuh bermaruah,” kata lelaki berusia 20 tahun itu kepada AFP.
Pesuruhjaya Bantuan dan Penghantaran Pulang Pelarian Bangladesh, Mohammed Mizanur Rahman turut berharap etnik Rohingya dapat kembali ke tanah air selepas keputusan berkenaan.
“Komuniti Rohingya di Bangladesh sudah lama menantikan hari ini.
“Negara-negara jiran kini perlu menyemak semula dasar masing-masing bagi memastikan kepulangan etnik Rohingya dapat dilaksanakan dengan penuh bermaruah,” katanya.
Walaupun ICJ tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan keputusan itu, seorang aktivis Rohingya berkata, keputusan berkenaan mampu membuka jalan kepada keadilan bagi mangsa genosid di seluruh dunia.
“Kami berharap dan percaya ini menjadi permulaan kepada usaha menuntut akauntabiliti, keadilan dan hak bagi etnik Rohingya serta mangsa yang terselamat daripada genosid di seluruh dunia,” kata pengasas merangkap Presiden Pusat Kajian Krisis Rohingya, Ro Mayyu Islam.-AFP














