PETALING JAYA – Masih bertenaga, penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search bersyukur apabila tahap kesihatannya kekal baik meskipun usianya kini menghampiri 70 tahun.
Menurut Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 68, dia sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi memastikan tubuh badannya bebas daripada sebarang masalah serius.
“Sebenarnya setiap tahun saya akan menjalani pemeriksaan kesihatan untuk melihat keadaan jantung dan anggota badan lain. Kali ini saya menjalani CT scan (pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer) dan angiogram bagi memastikan semuanya dalam keadaan baik.
“Saya hubungi doktor pakar yang saya kenal, Datuk Dr. Izzani dan beritahu hasrat untuk buat pemeriksaan jantung, jika ada masalah terus jalani prosedur angiogram.
“Tapi alhamdulillah semuanya okay,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada sidang media A Night Of Soul, semalam.
Berkongsi rahsia penjagaan kesihatan, pelantun lagu Isabella itu mendedahkan kekal aktif melalui kerja-kerja di rumah.
“Kalau tidak bekerja, rutin saya dari pagi sampai petang memang buat kerja rumah saja. Saya suka buat kerja rumah sampai berpeluh.
“Kadang-kadang naik turun tangga, uruskan pokok dan macam-macam lagi. Ada saja kerja yang hendak dibuat sampai orang rumah pun bising kerana saya tidak habis-habis buat kerja.
“Bagi saya, itu pun satu cara untuk bergerak aktif,” katanya lagi.
Ditanya mengenai penjagaan pemakanan, Amy mengakui tidak mengamalkan diet yang terlalu ketat, sebaliknya hanya mengambil makanan mengikut keperluan dan keselesaan tubuh badannya sahaja.
“Tak adalah jaga makan sangat. Kadang-kadang saya fikir minggu ini tidak payah makan nasi.
“Kalau sarapan dan sudah kenyang, tengah hari pula tidak rasa lapar, saya takkan makan. Kemudian petang baru makan.
“Waktu malam pula jarang makan berat. Biasanya sebelum maghrib saya makan sedikit.
“Kalau tengok televisyen, adalah makan kerepek, bukanlah kata saya terlalu menjaga dan hanya makan makanan sihat saja,” kongsinya.
Sebelum ini, Amy dipuji petugas kesihatan sehingga dikatakan usianya tidak langsung menunjukkan bakal melepasi garis 70 tahun. – HIBGLAM














