BESUT – Kesungguhan seorang kanak-kanak yang berterusan solat berjemaah dan menjadi bilal kecil mendapat perhatian pihak pengurusan Surau Bukit Mali, Bukit Payong, Jertih di sini, yang menghadiahkan sebuah basikal bagi memudahkan pergerakannya.
Ahmad Suffiyan Mohd. Nor, 10, menerima hadiah yang tidak disangkanya itu pada 12 November lalu selepas jemaah selesai solat isyak di surau itu.
Ibunya, Zurni Matzaid, 38, berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu sudah biasa dibawa bapanya, Mohd. Nor Samat untuk mendekati surau dan majlis ilmu selain membawanya solat subuh, maghrib dan isyak berjemaah setiap hari sejak berusia tujuh tahun.
Katanya, selepas solat subuh, anaknya akan dibawa guru ke Sekolah Rendah Islam Darul Furqan yang terletak agak jauh dari kediamannya di Kampung Bukit Mali di sini.
“Kerajinannya itu membuatkan dia digelar bilal kecil oleh para jemaah,” katanya.
Menurut Zurni, minat anaknya terhadap azan tercetus selepas menyertai pertandingan di sekolah sebelum menjadi bilal kecil di surau itu.
Tambahnya, sikapnya yang istiqamah itu mendapat perhatian pengurusan surau apabila mereka menghadiahkan sebuah basikal untuknya.
“Kami tidak menyangka dia akan menerima hadiah itu. Saya berharap Suffyan terus istiqamah, taat kepada Allah dan ibu bapa serta berbakti kepada masyarakat,” katanya.














