Terlalu bergantung kepada AI membuatkan otak manusia jadi malas berfikir.

Taasub guna AI sampai malas guna otak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEHADIRAN teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan kini, mengubah cara hidup manusia terutama kepada kelompok bekerja, penuntut dan pelajar serta sesiapa sahaja untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan.

Sebagai contoh dalam urusan penyediaan dokumen, mencari maklumat, menghasilkan kandungan kreatif selain mendapatkan pandangan, AI kini menjadi pilihan kepada orang ramai untuk menggunakannya.

Hal ini kerana keupayaan AI untuk memberikan jawapan dalam waktu singkat, jadi segelintir pengguna beranggapan tidak perlu ‘pening kepala’ dan membuang masa bagi menyelesaikan satu-satu perkara dengan segera.

Ditambah lagi banyak platform tersedia bagi penggunaan AI ini antaranya, ChatGPT, Claude, Google Gemini, Microsoft Copilot serta pelbagai lagi aplikasi yang muncul bagi memudahkan urusan itu.

Kementerian Pendidikan (KPM) juga bakal memperkenalkan asas AI menerusi mata pelajaran Teknologi dan Digital di sekolah rendah melalui Kurikulum Persekolahan 2027, manakala di peringkat menengah pula, ia akan diperkukuh melalui mata pelajaran berkaitan.

Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek memberi jaminan perkara ini turut berkait dengan Panduan Literasi AI KPM, diikuti Rancangan Pendidikan Malaysia, kurikulum baharu dan sebagainya.

Tidak dinafikan, perkembangan teknologi AI membawa pelbagai manfaat, terutama dari segi akses kepada ilmu pengetahuan. Misalnya ia membantu murid, menyemak fakta dan mencari jawapan, sekali gus melancarkan pembelajaran.

Bagi pekerja pula, AI turut menjimatkan masa menyiapkan tugasan, meningkatkan produktiviti, menjana idea dan kreativiti selain mengurangkan kesilapan kerja.

Bagaimanapun, dalam keghairahan menggunakan AI, kebimbangan adalah dari segi kebergantungan terhadap teknologi itu memandangkan ia digunakan hampir setiap urusan tanpa pertimbangan sewajarnya.

Apabila setiap hari bergantung dan mengharapkan penggunaan AI dalam urusan belajar atau bekerja, tiada lagi usaha berfikir secara kritis dalam menyelesaikan sesuatu tugasan diberikan ketua atau guru dan pensyarah.

Akhirnya segelintir mereka ini malas berfikir, tidak tahu membuat keputusan, tiada kemahiran untuk menyelesaikan masalah kerana terlalu bergantung sepenuhnya kepada penggunaan AI.

Pakar Etika Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Ahmad Firdhaus Arham menerusi satu perkongsian dalam audio siar turut mengajak orang ramai untuk kembali ke pangkal jalan menerusi usaha memartabatkan otak.

“Dalam kesibukan kita taasub dengan AI, hadir satu kelompok manusia yang sedar bahawa ini adalah teknologi. Jangan kita terbuai-buai.

“Malah saya rasa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan KPM telah menjalankan satu tanggungjawab sangat besar. Malah baru-baru ini diwartakan fasa untuk terapkan aspek AI.

“Ini adalah satu langkah bijak daripada kerajaan untuk memastikan budaya membudayakan otak itu lebih penting dahulu, sebelum menggunakan AI,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan AI juga perlu diraikan dan dimanfaatkan, namun ia mestilah dilaksanakan secara berhati-hati.

“Kita cuba berasimilasi dan meraikan AI, gunakan AI tersebut, tapi bagaimana kita menyelesaikan penggunaan AI itu secara berwaspada. Di situlah kena letakkan moral dan etika lebih penting.

“Kalau kita tersalah langkah, memang AI akan jadi raja dan manusia jadi hamba AI. Tapi kita kena ubah daripada sekarang, kita adalah raja kepada AI, kena manusiakan kecerdasan buatan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN