SENIWATI legenda, Uji Rashid kesal ada pihak menggunakan namanya dan Allahyarham Cico untuk mengutip sumbangan yang kononnya untuk penganjuran majlis tahlil.

‘Saya tidak pernah meminta bantuan, sumbangan tahlil Cico’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Nama disalahguna, penyanyi legenda, Uji Rashid kesal apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti mengutip daripada sumbangan orang ramai kononnya demi penganjuran sebuah majlis tahlil buat Allahyarham Cico Harahap.

Uji atau nama sebenarnya, Fuziah Haroun Al Rashid, 73, bertegas tidak pernah sekali pun meminta sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak, apatah lagi membuat kenyataan atau hebahan berhubung kutipan sumbangan selepas pemergian anaknya, Cico pada 8 November lalu.

“Saya dimaklumkan ada pihak menggunakan nama saya di TikTok atau Facebook (FB) untuk meminta sumbangan orang ramai bagi tujuan mengadakan majlis tahlil.

“Demi Allah, saya tidak pernah meminta bantuan atau sumbangan daripada sesiapa. Malah, saya juga tidak pernah keluarkan sebarang kenyataan atau tulis mengenai perkara itu di mana-mana platform.

“Saya dimaklumkan pihak terbabit turut menyertakan nombor akaun bank untuk orang ramai menyalurkan wang. Jadi, saya minta jangan gunakan nama saya untuk tujuan sedemikian,” katanya ditemui pada majlis bacaan Yasin dan tahlil buat Allahyarham Cico di Masjid Bukit Antarabangsa di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, ahli kariah muslimat masjid berkenaan turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga Allahyarham Cico.

Uji bersyukur sudah menerima bantuan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) selain sumbangan orang ramai yang disalurkan secara terus kepadanya.

“Alhamdulillah, Finas ada menghulurkan bantuan dan orang ramai juga sudah banyak membantu saya. Jadi, saya tidak pernah meminta sumbangan seperti itu.

“Saya tidak pernah keluarkan sebarang kenyataan berhubung kutipan wang. Tolonglah jangan gunakan nama saya. Terpulang kepada mereka kerana setiap perbuatan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan,” katanya.

Bagaimanapun, Uji tidak menolak bantuan orang ramai sekiranya disalurkan menerusi individu yang dikenalinya serta dipercayai.

“Saya tidak mahu perkara seperti ini berlaku. Kalau ada yang mahu membantu, biarlah melalui orang yang saya kenal dan percayai. Saya tidak kisah jika bantuan disalurkan menerusi mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Uji turut menyuarakan hasrat menunaikan badal haji buat Allahyarham Cico bagi memenuhi keinginan anaknya yang pernah diluahkan ketika hayatnya.

Cico juga pernah menyatakan hasrat untuk membawa anak perempuannya, Rindu Nur Fitrah menunaikan umrah.

“Ketika dia sakit, Cico berpesan kepada Rindu supaya membawanya menunaikan umrah. Jadi, insya-Allah, saya sendiri berhasrat merealisasikan hasrat itu. Saya akan mendapatkan khidmat agensi untuk menguruskan perjalanan berkenaan. Insya-Allah, mungkin tahun depan atau pada bila-bila masa yang sesuai,” katanya.

Allahyarham Cico atau nama sebenarnya, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin, meninggal dunia di Hospital Ampang pada 8 November lalu, kira-kira jam 11 pagi.

Jenazah Allahyarham Cico dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.

Allahyarham Cico meninggalkan seorang anak perempuan, Rindu, 18, hasil perkahwinan dengan bekas isterinya, Nur Fuziani Abdullah. – MEDIA MULIA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN