RANAU – Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes remaja perempuan yang parah selepas dipercayai terkena tembakan pada leher menggunakan bakakuk dalam kejadian di Sungai Keliu, Kampung Tinanom di sini Sabtu lalu.
Suspek berusia 40 tahun itu ditahan di rumahnya pada pukul 1.30 tengah hari Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, kejadian pada pukul 8 malam itu berlaku ketika remaja berusia 15 tahun itu dikatakan sedang menangkap ikan dan katak di tepi sungai bersama bapa saudaranya.
Katanya, siasatan awal mendapati bapa saudara mangsa terdengar satu das tembakan ketika sedang mencari kayu api sebelum menemui mangsa dalam keadaan cedera di tebing sungai bersama seorang lelaki lain.
“Mangsa kemudian dibawa keluar dari kawasan berkenaan sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan (KK) Paginatan, Ranau kira-kira jam 9 malam.
“Susulan kesukaran bernafas dialami mangsa, petugas kesihatan membuat laporan polis jam 3.49 pagi Ahad sebelum mangsa dirujuk ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami 13 kesan kecederaan hampir seluruh anggota badan selain pergelangan tangan kiri turut patah,” katanya.
Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, jam 6 petang semalam untuk menjalani pembedahan.
“Siasatan juga mendapati suspek dikatakan sempat membuang senjata api jenis bakakuk di hutan sebelum bergilir-gilir dengan bapa saudara mangsa mengangkat remaja itu untuk ke hospital.
“Setakat ini, kes disiasat mengikut Seksyen 37 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd














