PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang melibatkan beberapa kawasan di hampir seluruh Semenanjung termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labun sehingga pukul 6 petang ini.
Menurut MetMalaysia menerusi kenyataan di Facebook, bagi negeri Perak, kawasan yang terlibat ialah Kerian, Selama, Larut Matang, Kuala Kangsar, Manjung, Perak Tengah, Kinta, Kampar, Batang Padang, Muallim, Bagan Datuk dan Hilir Perak.
“Di Pahang, amaran berkenaan melibatkan Rompin dan Bera.
“Amaran turut melibatkan seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” katanya.
Di Sarawak, kawasan yang terlibat ialah Miri, Marudi dan Beluru di Miri, Sri Aman, Song di Kapit, Mukah, Daro, Dalat dan Matu di Mukah, Sibu, Tatau di Bintulu, Maradong, Julau dan Pakan di Sarikei, Limbang serta Betong.
Sementara itu, di Sabah, amaran berkenaan melibatkan Membakut, Beaufort, Kuala Penyu, Sipitang, Tambunan dan Keningau di Pedalaman, Papar, Penampang, Kota Kinabalu dan Putatan di Pantai Barat, manakala di Tawau membabitkan Tawau dan Kalabakan.
MetMalaysia berkata, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi satu jam.
“Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














