Keadaan kereta jenis Proton Preve yang remuk akibat impak pelanggaran di persimpangan lampu isyarat Jalan Kangar-Padang Besar-Semadong.

Dua pelanggan cedera Preve rempuh kedai makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADANG BESAR – Dua pemandu kereta terselamat tanpa sebarang kecederaan, namun dua pelanggan sebuah kedai makan pula cedera selepas sebuah Proton Preve hilang kawalan lalu merempuh premis berkenaan berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, di sini malam tadi.

Dalam kejadian di Jalan Kangar-Padang Besar kira-kira pukul 7.15 malam itu, seorang wanita berusia 35 tahun dan lelaki berusia 61 tahun mengalami kecederaan ringan sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, siasatan awal mendapati Proton Preve dipandu lelaki berusia 27 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Padang Besar menghala ke Beseri.

“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu Proton Preve dipercayai hilang kawalan ke atas kenderaannya lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan, tiang lampu isyarat serta tiang elektrik sebelum merempuh sebuah premis kedai makan berhampiran.

“Rempuhan tersebut turut menyebabkan komponen lampu isyarat jatuh dan mengenai cermin hadapan sebuah Perodua Viva yang ketika itu sedang membelok ke Jalan Semadong,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, Perodua Viva berkenaan dipandu lelaki berusia 56 tahun yang sedang dalam perjalanan dari arah Beseri sebelum membelok ke Jalan Semadong.

“Kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun dua pelanggan kedai makan terbabit cedera ringan dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN