Tangkap layar rakaman operasi yang dikongsikan JIM Selangor di TikTok.

[VIDEO] Warga asing menyorok bawah katil elak kantoi imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Taktik seorang warga asing yang cuba meloloskan diri dengan bersembunyi di bawah katil gagal apabila dia dicekup penguat kuasa dalam operasi besar-besaran di sekitar Selangor, semalam.

Jabatan Imigresen (JIM) Selangor berkata, serbuan bermula pukul 11 pagi itu dilaksanakan melibatkan tiga lokasi berasingan iaitu di sekitar Kampung Baru Subang, Ampang dan Hulu Langat menerusi Ops Sapu, Ops Selera dan Ops Kutip.

Menerusi klip video operasi yang dikongsikan di TikTok rasmi JIM Selangor, beberapa warga asing dilihat terpaksa keluar dari ruang sempit termasuk bawah katil selepas tempat persembunyian mereka berjaya dikesan pegawai penguat kuasa.

JIM Selangor memaklumkan, seramai 18 pegawai telah digerakkan dalam operasi tersebut dengan memeriksa seramai 38 individu sebelum menahan 34 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Di Ampang, pemeriksaan di beberapa premis makanan dan kawasan perniagaan membawa kepada penahanan 10 warga asing membabitkan lapan warga Myanmar serta masing-masing seorang warga Indonesia dan India.

“Operasi yang diteruskan di Hulu Langat pula berjaya menahan seorang warga Poland,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, satu saman saksi turut dikeluarkan manakala seorang majikan dikenakan tindakan atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.

Jelasnya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dalam pada itu, operasi bersepadu di Kampung Baru Subang yang turut disertai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah memeriksa sebuah surau yang disyaki menjalankan aktiviti solat Jumaat tanpa kebenaran.

“Dalam serbuan di lokasi berkenaan, pihak JAIS telah mengambil tindakan terhadap 123 individu atas kesalahan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama, namun hasil pemeriksaan JIM Selangor mendapati tiada kesalahan imigresen dikesan,” jelasnya.

Sehubungan itu, JIM Selangor memberi amaran keras kepada majikan dan pemilik premis agar sentiasa memastikan pekerja asing masing-masing memiliki dokumen perjalanan serta pas yang sah.

“JIM Selangor akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan, termasuk melalui kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras keberadaan pendatang asing tanpa izin serta memastikan undang-undang imigresen negara sentiasa dipatuhi.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang imigresen digalakkan menyalurkan aduan melalui saluran rasmi JIM dan bukannya melalui ruangan komen media sosial,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN