SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim mengesahkan penularan surat penarikan balik kandungan surat sembah maklum yang dihantar kepada Majlis Raja-Raja berhubung institusi diraja negeri itu.
Beliau berkata, kandungan surat berkenaan sudah jelas dan tidak memerlukan penjelasan lanjut selepas ia tersebar serta mendapat perhatian media.
“Surat tersebut sudah jelas dengan sendirinya.(The letter is self-explanatory). Kamu baca dan faham, itulah dia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Deepavali Kerajaan Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini secara rasmi menarik balik kandungan surat persembahan maklum yang dihantar kepada Majlis Raja-Raja, sekali gus menegaskan komitmen untuk menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta adat dan tradisi negeri.
Keputusan itu dimaklumkan menerusi surat dua muka surat bertarikh 10 November lalu yang dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad oleh Ismail.
Surat berkenaan menyatakan keputusan menarik balik surat bertarikh 17 September 2026 itu dibuat secara sebulat suara bersama kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata, tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dicadangkan kerajaan negeri masih belum mendapat perkenan Tuanku Muhriz.
Beliau berkata, kerajaan negeri sudah mengemukakan permohonan untuk menghadap Tuanku bagi mendapatkan perkenan berhubung tarikh persidangan berkenaan.- KOSMO! ONLINE
















