SYAMSINAR ditemani ahli keluarganya mengundi di SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka hari ini.

PRN Melaka: Diserang strok ketika memandu, Syamsinar teruja mengundi walau sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Biarpun sedang menjalani proses pemulihan akibat serangan strok sejak setahun lalu, seorang wanita tetap teruja untuk menunaikan tanggungjawab mengundi buat pertama kali pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.

Syamsinar Abdullah, 21, yang hadir dengan kerusi roda ditemani bapanya, Abdullah Abd. Rahman, 71, serta kakak dan abangnya tiba di pusat mengundi kira-kira pukul 8.30 pagi.

“Ini kali pertama saya mengundi. Walaupun sakit, saya tetap seronok dapat datang mengundi.

“Seronok juga tengok bendera parti berwarna biru, merah dan kuning yang digantung di sepanjang jalan,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram di sini hari ini.

Sementara itu, Abdullah berkata, anak bongsunya diserang strok secara tiba-tiba ketika memandu pulang ke rumah selepas bercuti di kediaman kakaknya di Alor Gajah pada 17 November 2025.

Menurutnya, Syamsinar sempat menghubungi kakaknya selepas mengalami sakit dada sebelum diminta memberhentikan kenderaan di tepi jalan untuk mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi, anaknya sudah tidak sedarkan diri sebelum dibawa mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah.

“Dia kemudian dirujuk ke Hospital Melaka sebelum menjalani pembedahan selepas doktor mengesan berlaku pendarahan dalam otak.

“Selepas itu, dia dipindahkan pula ke sebuah hospital di Klang, Selangor untuk menjalani satu lagi pembedahan,” katanya.

Beliau berkata, anaknya menerima rawatan di hospital selama lebih dua bulan iaitu kira-kira dua bulan 17 hari sebelum dibenarkan pulang.

Katanya, Syamsinar kini masih memerlukan rawatan susulan setiap bulan di Hospital Melaka dan Hospital Alor Gajah, selain bergantung kepada bantuan keluarga untuk menguruskan keperluan hariannya.

Tambahnya, dia berharap bantuan kewangan kepada golongan pesakit seperti anaknya dapat ditingkatkan bagi meringankan beban keluarga, khususnya untuk menampung kos rawatan, pengangkutan dan keperluan harian termasuk lampin pakai buang.

“Buat masa ini, kami menerima bantuan daripada baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Namun, jumlah itu masih belum mencukupi untuk menampung semua keperluannya.

“Kalau boleh, bantuan itu ditingkatkan lagi supaya dapat meringankan beban keluarga,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN