GOMBAK – Penduduk di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri dekat sini mula dibelenggu kebimbangan susulan kejadian seorang anggota polis putus pergelangan tangan akibat ditetak, Rabu lalu.
Insiden berkenaan sekali gus mencetuskan keresahan dalam kalangan penduduk meskipun pangsapuri itu dilengkapi kawalan keselamatan.
Seorang jiran yang tinggal di aras sama dengan kediaman suspek berkata, lelaki itu sudah menetap di pangsapuri berkenaan bersama dua rakannya sejak kira-kira tujuh hingga lapan tahun lalu.
Menurutnya, suspek sebelum ini tidak pernah menunjukkan sebarang tingkah laku mencurigakan, namun keadaan mula berubah sejak seminggu lalu apabila mereka kerap terdengar bunyi bising seperti pertengkaran dari kediaman tersebut.
“Sejak seminggu ini, mereka selalu bising seperti sedang bertengkar sesama sendiri, tetapi saya tidak tahu apa puncanya.
“Kejadian kelmarin berlaku sekitar pukul 6 petang. Saya sempat keluar rumah selepas terdengar bunyi bising,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini.
Kosmo! semalam melaporkan Lans Koperal Thierry Rodger Pendy, 26, cedera parah sehingga putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak seorang lelaki warga asing bersenjatakan dua bilah parang dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri.
Dalam kejadian itu, lelaki berkulit hitam tersebut turut menyerang anggota bomba dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi bagi membantu mengawal keadaan.
Suspek kemudian melarikan diri sebelum dikesan berhampiran sebuah taman permainan di kawasan berkenaan sekitar pukul 7.30 hingga 8 malam.
Polis bagaimanapun terpaksa melepaskan beberapa das tembakan selepas lelaki itu sekali lagi bertindak agresif dan menyerang anggota bertugas menggunakan parang. Suspek bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Selayang.
















