AISHA seperti tidak sabar hendak mengambil cuplikan-cuplikan daripada apa yang dilalui sepanjang penglibatan dalam PGLM untuk diserapkan dalam penghasilan karya muziknya.

‘8 tahun dalam industri, saya selalu sorokkan perasaan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENYOROT perhatian khalayak apabila bukan sahaja cemerlang dalam dunia nyanyian, Aisha Retno mengorak langkah dalam dunia pementasan teater menerusi karakter ikonik, Gusti Puteri Raden Adjeng Retno Dumilah (Puteri Gunung Ledang) dalam Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM).

Perihal yang bermula dengan angan-angan kini meledak menjadi satu hamparan realiti. Bukan calang-calang, hanya mereka yang memiliki kecekalan hati yang tinggi bisa menterjemah karakter PGL dan Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam langsung tidak mengecewakan.

Meski ada suara-suara liar menidakkan kelayakan dirinya memegang watak ikonik itu, Aisha, 26, berlapang dada dengan segala kritikan. Baginya, setiap hari adalah proses pembelajaran dan itu membuatkan dirinya untuk terus menggali dan menggauli ilmu demi masa depan sebagai seorang penghibur.

“Saya transisikan kebiasaan sebagai seorang pengkarya atau penulis lagu kepada seorang pelakon. Dan, transisi itu sebenarnya, dalam dunia seni tak jauh beza. Apabila kita menyanyi, kita bermain dengan emosi atau perasaan. Bawakan idea-idea itu kepada orang ramai.

“Cara saya adalah dengan menjadi orang yang menerima pendapat dan sentiasa berfikiran terbuka. Sejujurnya, lapan tahun dalam dunia muzik, saya selalu sorokkan perasaan.

“Walaupun tengah sakit perut, saya kena sembunyikan sebab misalnya atas pentas sudah 1,000 orang tunggu, kena sembunyikan perasaan dan itu berbeza dengan bidang lakonan. Kalau saya marah, saya boleh lepaskan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya (UM) itu bersyukur dilorongkan ke dunia lakonan menerusi PGLM.

Dipertanggungjawabkan dengan tugasan sebesar Gusti Puteri, Aisha yang tidak asing di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) dan AIM (Anugerah Industri Muzik) mula mengintai peluang untuk menggenggam trofi lakonan, barangkali Festival Filem Malaysia (FFM).

Tersentak dengan soalan tentang FFM, Aisha berkata, perjalanannya masih jauh namun tidak menolak andai PGLM menjadi ‘turning point’ buatnya terus aktif dalam dunia lakonan.

“Jauh lagi. Banyak lagi saya kena belajar. Saya selalu anggap diri ini ‘kosong’. Misalnya, kalau kita rasa diri umpama gelas kosong, akan lebih beria-ia untuk mengejar ilmu.

“Banyak benda yang saya boleh serap sebelum ke arah itu (FFM) dan sebagainya. Bagaimanapun, dalam apa jua pekerjaan saya buat, saya akan usaha sebaik mungkin. Tentang trofi atau anugerah, saya tak fikirkan,” ujarnya.

Album Disember

Ditebak pertanyaan sama ada pengalaman di pentas PGLM sedikit sebanyak memberi inspirasi buatnya untuk kembali ke studio rakaman, Aisha menjawab seraya mengukir senyuman.

“Betul, ada sangat dan tak sabar nak kembali ke studio rakaman.

“Tak sabar nak mengambil ‘cuplikan-cuplikan’ yang saya dah belajar dari PGLM (dari segi muzik). Saya memang peminat ‘disney’ dan lagu-lagu dalam PGLM semua berpaksikan ke arah itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Aisha mendedahkan, dia akan melancarkan sebuah lagu joget tidak lama lagi. Bagaimanapun, lagu berkenaan bukan untuk musim perayaan.

“Seakan-akan Jodoh Lebaran tetapi tiada kena-mengena dengan lebaran. Akan lancar sikit masa lagi tapi disebabkan terikat dengan PGLM, jadi pelancaran dianjakkan sikit.

“Insya-Allah, sekali dengan album. Kalau bukan bulan ini, bulan depan (Disember),” ujarnya menggulung kata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN