Gambar hiasan

Tangan anggota polis berjaya disambung, HKL buat pembedahan 8 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Seorang anggota polis yang mengalami kecederaan serius pada pergelangan tangan kanan akibat diserang warga asing berjaya menjalani pembedahan penyambungan semula tangan menerusi prosedur mikrosurgeri kompleks selama lapan jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pembedahan itu diketuai oleh Dr. Allan Ravi Rajagopal dan Dr. Aziz Sabbir Husain yang merupakan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL.

Katanya, pembedahan itu turut melibatkan kerjasama seluruh pasukan Unit Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL (Hand and Microsurgery Unit).

“Pembedahan bermula pada pukul 10 malam dan mengambil masa kira-kira lapan jam untuk diselesaikan.

“Prosedur kompleks ini melibatkan penggunaan mikroskop pembedahan bagi membolehkan penyambungan semula salur darah dan struktur saraf yang tercedera, selain pemulihan struktur anatomi tangan yang terlibat,” katanya di sini tadi.

KKM berkata, terdahulu, mangsa telah dirujuk ke HKL untuk mendapatan rawatan kepakaran.

“Setelah menjalani pemeriksaan dan penilaian teliti oleh pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri, beliau telah dibawa segera ke Dewan Bedah Utama bagi menjalani pembedahan penyambungan semula tangan (hand replantation),” katanya.

Dalam masa yang sama, KKM berkata, pasukan Neurosurgeri turut menjalankan prosedur pembersihan luka pembedahan (wound debridement) bagi merawat kecederaan di bahagian kepala pesakit.

“Kes ini merupakan satu prosedur pembedahan yang amat kompleks yang mana memerlukan kepakaran khusus, kemahiran mikrosurgeri yang tinggi serta kerjasama erat antara pelbagai disiplin kepakaran bagi memastikan rawatan yang menyeluruh dan optimum.

“Kami berharap agar pesakit menunjukkan perkembangan pemulihan yang baik dan seterusnya mencapai tahap pemulihan fungsi tangan yang seoptimum mungkin,” katanya.

KKM berkata, HKL komited untuk terus memberikan perkhidmatan rawatan kepakaran yang berkualiti tinggi melalui kepakaran multidisiplin, teknologi serta kemahiran profesional demi kesejahteraan masyarakat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras insiden serangan seorang warga asing terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas di Kepong semalam.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, seorang anggota polis yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak putus pergelangan tangan kanan selepas diserang lelaki warga asing bersenjatakan parang.

Kejadian kira-kira pukul 7 malam itu berlaku di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong.

Mangsa sebelum ini dibawa ke Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani pembedahan bagi menyelamatkan pergelangan tangannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN