PETALING JAYA – Sekumpulan individu didakwa bertindak licik mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha 125ZR di sebuah kawasan perumahan di Alam Suria, Puncak Alam, awal pagi tadi.
Kejadian tersebut berjaya dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) di salah sebuah kediaman berhampiran sebelum dikongsikan oleh pengguna Threads @farahhadirah.
Berdasarkan cap waktu pada rakaman CCTV berkenaan, insiden itu berlaku sekitar pukul 5.04 pagi, hari ini.
Menerusi paparan video tular tersebut, kelihatan sekurang-kurangnya dua individu terlibat memakai topi keledar dan kemudian membuka pintu pagar sebuah rumah sebelum dipercayai melarikan motosikal terbabit.
“Kes curi motor dekat Alam Suria, Puncak Alam. Hati-hati ‘guys’. Motor 125ZR,” tulis pemilik akaun tersebut.
Perkongsian itu turut menarik perhatian pengguna media sosial yang rata-ratanya menasihati orang ramai, khususnya pemilik motosikal ‘panas’ seperti Yamaha 125ZR agar sentiasa berwaspada dan menambah kunci keselamatan tambahan pada kenderaan masing-masing.
“Jiran rumah saya ini…kes Subuh tadi patut saya dengar bunyi motor 125 tak sangka pulak jiran kena,” kata @manjeila86.
“Bahayanya, dua minggu lepas kes curi motor dekat UiTM. Nmpak post (hantaran) hari tu. Kena extra lock (kunci tambahan),” komen @azzy_yati.
“Banyak kes curi motor sekarang. Kalian double lock (kunci tambahan) lah motor,” pesan @lilly_o. – KOSMO! ONLINE
















