KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun meneruskan perjuangan di Kejohanan Badminton Kumamoto Masters, Jepun selepas bangkit membenam gandingan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul untuk melangkah ke pusingan kedua.
Pasangan ranking No. 9 dunia itu diasak hebat selepas mencipta kemenangan ke atas gandingan Thailand tersebut menerusi keputusan 21-18, 21-23, 21-13 dalam masa 56 minit sekali gus melebarkan jurang rekod pertemuan ke atas beregu ke-28 dunia itu menjadi 2-0.
Pada peringkat kedua esok, Wei Chong-Kai Wun yang turun selaku beregu pilihan kelapan kejohanan bakal berdepan pasangan No. 14 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark.
Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing terlebih dahulu mara ke kedua selepas mudah membenam cabaran wakil Kanada, Jonathan Lai-Crystal Lai 21-14, 21-14 dalam masa 30 minit.
Cabaran sebenar menanti beregu No. 14 dunia itu apabila mereka akan menentang beregu No. 2 dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, esok.
Bagaimanapun, kemaraan Pang Ron-Pei Jing gagal diikuti tiga beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie-Chan Wan Tse, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Jimmy Wong-Cheng Su Yin yang terkandas di pusingan awal.
Turut tersungkur di pusingan awal, beregu lelaki profesional negara, Chia Wei Jie-Teo Ee Yi yang tumpas kepada He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China 21-19, 14-21, 10-21 dalam masa 50 minit.
Menerima nasib serupa, dua wakil perseorangan wanita, K. Letshanaa dan Wong Ling Ching yang juga ditunjukkan jalan keluar oleh pencabar masing-masing. -KOSMO! ONLINE
















